Jualan lembu korban Aidiladha perlahan berbanding tahun lalu

Jualan lembu korban Aidiladha perlahan berbanding tahun lalu

MOHD. Sharif Ismail menguruskan lembu ternakannya di Kampung Parit Che Ha, Manir, Kuala Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Permintaan terhadap lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sesetengah kawasan tahun ini dilihat kurang memberangsangkan berban­ding tahun lalu apabila tempahan yang diterima penternak masih rendah.

Seorang penternak lembu, Mohd. Sharif Ismail, 31, dari Kampung Parit Che Ha, Manir berkata situasi itu berbeza berbanding kebiasaan kerana dia lazimnya tidak menang tangan menguruskan tempahan menjelang Aidiladha.

Katanya, sehingga kini hanya 15 ekor lembu korban ditempah berbanding 60 ekor tahun lepas.

“Saya ada lebih 30 ekor lembu termasuk baka Brahman dan Charolais. Untuk kedua-dua baka ini sudah habis ditempah dan dijual pada harga sekitar RM7,000 seekor.

“Sambutan tahun ini agak perlahan mungkin disebabkan keadaan ekonomi semasa menyebabkan orang lebih berjimat-cermat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dia yang 20 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan, menawarkan bahagian korban pada harga antara RM600 hingga RM1,000 seorang bergantung kepada saiz dan baka lembu.

Bekalan lembu diperoleh dari beberapa kawasan termasuk Kemaman dan Dungun bagi memenuhi permintaan pelanggan sekitar Kuala Terengganu dan kawasan berhampiran.

Sebanyak RM4,000 sebulan diperuntukkan bagi kos makanan lembu selain rumput sebagai makanan tambahan.

Dia berharap tempahan meningkat pada saat akhir memandangkan masih terdapat masyarakat yang membuat keputusan di saat akhir sambutan Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN