SETIU: Ketajaman pisau bukan sahaja menjadi keutamaan malah ia seperti ‘rakan baik’ yang menemani tukang sembelih haiwan korban setiap kali tiba sambutan Hari Raya Aidiladha.
Berkongsi perkara itu, Asmadi Abdullah, 51, yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang penyembelihan haiwan berkata, minat yang mendalam mendorongnya mendalami ilmu penyembelihan sebelum memperoleh tauliah.
“Kira-kira 15 tahun lalu saya mengikuti kursus penyembelihan halal mengikut syarie Malaysia, dan di situ juga saya membeli sebilah pisau bertaraf profesional dari Jerman yang sangat terkenal dalam industri kulinari dan sembelihan.
“Pisau ini saya gunakan setiap kali hendak melakukan penyembelihan ketika Aidiladha dan harian biasa. Kini saya memiliki dua bilah pisau tajam yang sentiasa saya bawa ke setiap program sembelih dijalankan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Pak Kancil Dalam di sini.
Menurut Asmadi, tugasnya bukan sekadar menyembelih haiwan tetapi memerlukan ketelitian, pengalaman dan kerjasama semua petugas bagi memastikan proses berjalan lancar.
Katanya, penggunaan pisau yang tajam sangat penting bagi memastikan haiwan disembelih dengan sempurna selain mengurangkan penderitaan haiwan korban.
“Pisau memang kena sentiasa dijaga dan diasah. Biasanya sebelum Aidiladha saya pastikan semuanya lengkap kerana dalam sehari kadangkala lapan hingga 10 ekor lembu perlu disembelih.
“Selain itu, cara penyembelihan juga dikatakan dapat mempengaruhi daging lembu yang disembelih. Jika lembu tersebut dapat ‘dimatikan’ dengan sekali potong dagingnya lebih mudah lembut,” katanya. – UTUSAN










