KANGAR: Sebanyak 120 ekor lembu disumbangkan oleh kerajaan negeri bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, lembu tersebut masing-masing diagihkan kepada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Senator, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta jabatan-jabatan negeri dan persekutuan.
Katanya, setiap ADUN dan Ahli Parlimen antaranya menerima tiga ekor lembu dengan daging korban itu akan diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“Sumbangan itu turut diterima daripada anak syarikat kerajaan negeri dan pelbagai pihak sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam menyemarakkan ibadah korban di Perlis.
“Inisiatif itu mencerminkan semangat kerjasama, perpaduan dan nilai kebajikan yang sentiasa menjadi teras dalam memperkukuhkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Insya-Allah seluruh rakyat akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut selain kita terus memperkukuhkan semangat perpaduan, kebajikan dan kerjasama demi rakyat,” katanya di sini semalam.
Abu Bakar berkata, pengagihan lembu korban tersebut juga sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam menyemarakkan ibadah korban pada tahun ini di Perlis.
“Jumlah sumbangan itu agak tinggi dan diharap semua dapat menerima manfaat bersempena sambutan Aidiladha kali ini,” katanya. – UTUSAN










