DENGKIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memaksimumkan sepenuhnya penggunaan dron sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2026 (HRAA 2026) bermula Ahad ini.
Timbalan Ketua Pengarahnya (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi selama lapan hari sehingga 31 Mei itu akan memberi tumpuan kepada kesalahan lalu lintas terutama di kawasan hotspot kemalangan dan laluan utama lebuh raya di seluruh negara.
Beliau berkata, penggunaan dron itu akan dipertingkatkan secara lebih menyeluruh berbanding operasi kali pertama pada musim Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Antara kesalahan yang akan diberi tumpuan termasuk memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan membawa muatan berbahaya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Ops HRAA 2026 di Rehat dan Rawat Dengkil (arah uara) di sini malam tadi.
Katanya, JPJ kini memiliki enam dron dan ia akan digunakan secara maksimum dengan tumpuan diberikan kepada lokasi hotspot berisiko tinggi yang sudah dikenal pasti.
Jazmanie berkata, sebelum ini, operasi dron hanya digunapakai waktu-waktu tertentu sahaja termasuk hotspot yang paling tinggi sahaja.
Menurutnya, Ops HRAA 2026 itu akan melibatkan kira-kira 2,500 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negara.
“Selain dron, penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi penggunaan kamera aksi pengawasan (EAC), kamera badan, rondaan dan pemantauan di 288 hotspot kemalangan,” katanya.
Berdasarkan statistik operasi dron pada musim perayaan Aidilfitri lalu, JPJ telah mengeluarkan 5,000 notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di seluruh negara.
Katanya, operasi khas itu turut memberi tumpuan kepada penunggang motosikal bagi meningkatkan pematuhan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Jelasnya lagi, JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna jalan raya turut diseru agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan,” katanya. – UTUSAN










