Suami teruskan legasi arwah isteri hasilkan rempeyek

Suami teruskan legasi arwah isteri hasilkan rempeyek

KHAIRUDDIN Saad menunjukkan rempeyek menggunakan resepi Allahyarham isterinya di rumahnya di Kampung Seri Kenangan, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Demi meneruskan legasi arwah isterinya, seorang lelaki dari Kampung Seri Kenangan di sini, cekal meneruskan perusahaan rempeyek yang diusahakan bersama keluarganya sejak beberapa tahun lalu.

Khairuddin Saad, 57, berkata, selepas pemergian isteri­nya, Rahmah Salleh pada 2018, dia menjalankannya sen­dirian kerana sangat ‘sayang­kan’ per­niagaan itu yang diusahakan oleh Allahyarham sejak 19 tahun lepas.

Katanya, Allahyarham is­te­ri­nya bukan sahaja mahir menghasilkan rempeyek ma­lah sa­­ngat menjaga kualiti rasa se­hingga produk mereka mendapat pelanggan tetap sekitar daerah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya fikir ini usaha yang kami bina bersama sejak sekian lama dan tidak mahu ia terhenti begitu sahaja apatah lagi rempeyek ini mempunyai pelanggannya tersendiri.

“Permintaan terhadap rempeyek ini mencecah dua kali ganda ketika musim perayaan yang mana ia dijadikan sebagai salah satu hidangan tradisional yang sangat digemari masyarakat,” katanya ketika di­temui Utusan Malaysia di Kampung Seri Kenangan.

Khairuddin kini meneruskan pembuatan rempeyek itu dengan bantuan dua pekerja dan isteri baharunya, Azizon Daud, 59, yang dikahwini sejak 2019.

Katanya, dia tetap menge­kalkan resepi peninggalan Allahyarham Rahmah kerana adalah hasil olahan air tangan insan yang disayanginya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, kini usahanya berbaloi apabila rempeyek itu mendapat sambutan memberangsangkan dan berjaya memasuki sebuah pasar raya terkemuka di Kuala Terengganu.

“Kami juga pernah membekalkan rempeyek ini kepada jabatan-jabatan kerajaan dan satu ketika dahulu dihantar ke Istana Terengganu untuk tempahan untuk majlis tertentu.

“Keistimewaan rempeyek ini adalah kaya dengan rempah ratus yang mana bahan-bahan utama digunakan adalah jintan manis, jintan putih, ketumbar serta bawang putih yang menjadikan adunannya berbeza dengan yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini