KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi global yang tidak menentu tidak seharusnya mematahkan semangat usahawan tempatan untuk terus berkembang, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin bagi memperkukuh daya tahan perniagaan dan meneroka peluang baharu di pasaran antarabangsa.
Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr, Zurainah Musa berkata, usahawan perlu memahami bahawa dunia perniagaan tidak mempunyai titik penamat kerana cabaran sentiasa berubah mengikut landskap ekonomi semasa.
Katanya, walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, masih terdapat ruang dan peluang untuk syarikat tempatan bertahan serta berkembang sekiranya mereka bijak memanfaatkan jaringan strategik dan kerjasama perniagaan.
“Dengan kebijaksanaan dan networking yang betul, kita masih mampu sustain dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini. Usahawan tidak boleh hilang harapan kerana sentiasa ada lifeline untuk mereka terus bergerak ke hadapan,” kata Zurainah pada program Seven Mega Growth Strategies 2026 di sini semalam.
Menurut beliau, program berkenaan menghimpunkan pelbagai syarikat daripada perusahaan sederhana sehingga konglomerat besar termasuk wakil diplomatik luar negara bagi membuka ruang kerjasama rentas sempadan kepada usahawan tempatan.
Zurainah berkata, kolaborasi bersama syarikat besar kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan penting untuk memastikan sesebuah syarikat terus relevan dan mampu menembusi pasaran lebih luas.
“Kalau kita ada niche dalam perniagaan, syarikat besar akan datang mencari kita. Tetapi kalau belum dikenali, kita sendiri perlu tampil memperkenalkan kekuatan dan kemampuan yang kita ada,” katanya.
Beliau turut menambah, jaringan strategik juga penting bagi menarik minat pelabur serta syarikat konglomerat luar untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan yang mempunyai potensi dan kepakaran tersendiri.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh dan disertai kira-kira 200 peserta terdiri daripada pakar industri, mentor perniagaan dan pemain ekonomi global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KNKV Group, Prof. Adjung Adam Richman berkata, keterlihatan jenama menjadi elemen kritikal kepada kelangsungan sesebuah perniagaan ketika persaingan semakin sengit dengan kemasukan syarikat gergasi luar negara.
Katanya, usahawan tidak boleh lagi bergantung kepada strategi pemasaran lama kerana perubahan teknologi dan corak pengguna berlaku terlalu pantas sehingga boleh menyebabkan sesebuah jenama ketinggalan dalam tempoh singkat.
“Kalau kita masih berada di takuk lama dalam strategi pengiklanan dan pemasaran, lagi tiga tahun mungkin jenama itu sudah tidak mampu bertahan dalam pasaran. Persaingan hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Adam turut melihat penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara faktor utama yang menentukan kelangsungan sesebuah perniagaan pada masa depan, khususnya dalam aspek pemasaran dan penghasilan kandungan digital.
Beliau berkata, teknologi AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata, sebaliknya perlu digunakan secara bertanggungjawab dan telus bagi memastikan kandungan yang dihasilkan memberi impak positif kepada pengguna serta masyarakat.
“AI hanyalah alat untuk membantu usahawan membawa penyelesaian dan idea baharu kepada masyarakat. Namun soal ketelusan tetap bergantung kepada niat dan integriti usahawan itu sendiri kerana jika kandungan yang dihasilkan tidak telus, pengguna tidak akan mempercayai jenama tersebut untuk jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN










