IWK kumpul RM8,330 bantu OKU menerusi Rise & Revive

IWK kumpul RM8,330 bantu OKU menerusi Rise & Revive

WAN Esuriyanti Wan Ahmad (tiga,kiri) menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur Ana Atikah Zainal Abidin (empat, kiri) pada program Rise & Revive di IWK Eco Park Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. mengumpul RM8,330 menerusi hasil jualan tiket program Rise & Revive untuk disalurkan sepenuhnya kepada dua pertubuhan berkaitan orang kurang upaya (OKU), hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, kutipan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur (PKAKL) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), dengan setiap pertubuhan menerima lebih RM4,000.

Katanya, kira-kira 60 peserta daripada kedua-dua pertubuhan turut menyertai program berkenaan, masing-masing 30 orang daripada PKAKL dan MFD, bersama komuniti awam.

“Kita mahu program yang sihat, memberi kesejahteraan dan suasana positif, tetapi pada masa sama turut membawa nilai amal apabila semua kutipan tiket diberikan kepada dua NGO yang dipilih.

“Paling baik, mereka turut menyertai program ini bersama komuniti, termasuk peserta daripada persatuan pekak yang dibantu penterjemah supaya mereka juga boleh mengikuti aktiviti,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Rise and Revive di sini, hari ini.

Program kesihatan dan kesejahteraan yang berlangsung di IWK Eco Park @ Pantai Dalam itu bukan sekadar acara senaman, sebaliknya menjadi platform menggerakkan komuniti ke arah nilai keterangkuman, kebolehcapaian dan penyertaan bermakna.

Wan Esuriyanti berkata, Rise & Revive turut menjadi sebahagian daripada inisiatif Sahabat Istimewa IWK yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan OKU daripada pelbagai spektrum.

Beliau berkata, IWK mahu memberi keutamaan kepada golongan OKU menerusi program tanggungjawab sosial korporat kerana kumpulan itu juga mampu menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberi ruang dan peluang.

“Sebab itu hari ini kita dapat lihat mereka boleh menari, melakukan yoga dan pound bersama komuniti lain,” katanya.

Program anjuran IWK dengan kerjasama Prahara Studio itu dimulakan dengan sesi yoga bersama Atilia Haron, diikuti Flyjam bersama Mimifly dan Poundfit bersama Hanis.

Wan Esuriyanti berkata, IWK turut merancang memperluaskan inisiatif Sahabat Istimewa IWK ke luar Lembah Klang dengan kerjasama pejabat operasi syarikat itu di seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak.

Selain aktiviti senaman, program turut menampilkan ruang jualan vendor tempatan dan diakhiri dengan persembahan istimewa Atilia Haron serta Mimifly, sekali gus memperkukuh mesej bahawa gaya hidup sihat boleh digerakkan bersama nilai kemasyarakatan dan inklusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN