Ibadat haji bukan melancong, peluang peroleh haji mabrur

Ibadat haji bukan melancong, peluang peroleh haji mabrur

MAULANA WAN ADLI WAN MOHAMMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM haji sudah bermula. Seramai 31,600 bakal haji yang akan berada antara 40 hingga 50 hari di kota Mekah sudah tentu tidak mensia-siakan peluang sekali seumur hidup mengerjakan Rukun Islam kelima dengan sempurna.

Mengumpul wang dalam tempoh lama bagi mereka yang tinggal di kampung yang bekerja sendiri mengikuti ibadat itu menerusi bantuan muassasah, manakala yang mampu dalam masa singkat menyediakan keperluan itu menerusi tawaran pakej haji di bawah syarikat pelancongan diiktiraf kerajaan.

Apa cara sekali pun pemergian ke tanah suci mengikut serta mematuhi syarat yang diselaraskan oleh Tabung Haji sudah tentu dengan izin Allah SWT dapat menjengah dan bersujud di depan Kaabah, tawaf di Arafah dan beberapa rukun yang membolehkan anda memperoleh haji mabrur.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengetua Madrasah Assyarif Bukit Rang, Pulau Tawar, Maulana Wan Adli Wan Mohammed, 51, mengingatkan bakal haji supaya mengelakkan kunjungan ke tanah suci semata-mata untuk melancong lantaran memiliki wang banyak serta mengambil sikap tidak acuh hanya ‘memenuhi impian’ ke tanah suci dalam musim haji.
Wan Adli berkata, setiap umat Islam yang mengerjakan ibadah haji mengharapkan mendapat haji mabrur. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

Katanya, hal itu juga dijelaskan oleh Nabi Muhamad SAW menerusi sabdanya dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: “Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”

 

MAULANA WAN ADLI WAN MOHAMMED

Usia: 51 Tahun

Asal: Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang
Pendidikan:
*Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang
*Ijazah Hadis dan Pengetahuan Islam, Pusat Pengajian Binory Karachi, Pakistan – 2007
*Master Hadis dan Pengetahuan Islam, Pusat Pengajian Binory Karachi, Pakistan – 2010
*Diploma Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – 2014

Tugas luar:
*Pengerusi Guru-guru Takmir Daerah Jerantut
*Imam dan penceramah masjid di Pahang

*Tugas Hakiki:
Pengetua dan pentadbir Madrasah Assyarif Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut.

 

Katanya, betapa indah dan mulianya ibadat haji, iaitu dapat membentuk dan mewujudkan rasa persamaan dalam kalangan umat Islam.

Jelasnya, semasa di tanah suci tiada wujud perbezaan antara kaya dan miskin, putih dan hitam dan pelbagai bangsa dari seluruh dunia dengan niat dan matlamat yang satu, iaitu untuk mengerjakan ibadah haji.

Wan Adli berkata, sekalipun mereka berlainan bahasa dan budaya, adat dan resam, bangsa dan negara, tetapi mereka memakai pakaian ihram serupa warna, berakidah dan kepercayaan yang sama, menunaikan ibadah ikut aturan seperti melontar jumrah, bertawaf dan bersaie semata-mata mengagungkan kebesaran Allah SWT.

“Kehadiran para jemaah dari seluruh pelosok dunia diiringi niat yang suci dan ikhlas untuk beribadat memohon supaya amalan diterima dan mendapat keampunan segala dosa daripada Allah SWT,” katanya.

Katanya, Rasulullah bersabda seperti diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak berkata kotor atau berbuat jahat, dia balik seperti hari dilahirkan oleh ibunya.”

Beliau mengambil contoh Jalaluddin as-Suyuthi menjelaskan bukti bahawa seseorang telah berhasil memperoleh haji mabrur, dia kembali menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan terus berusaha meninggalkan perbuatan maksiat.

“Inilah antara tanda haji yang diterima Allah SWT, iaitu perubahan akhlaknya kepada yang lebih baik serta menjaga masa dan tingkah laku tidak melakukan perkara sia-sia.

“Sifat dan pendekatan mereka yang mendapat haji mabrur sentiasa mengajak orang lain mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW serta melipatgandakan amalan membaca al-Quran, tahajud, solat jemaah dan solat sunat serta mengimarahkan masjid,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang telah menunaikan haji dinasihatkan terus mengekalkan amalan seperti berada di tanah suci sekali gus meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT seperti mendirikan solat berjemaah di masjid dan menjaga akhlak yang mulia sebagai seorang muslim.

Mengakhiri perbualan, Wan Adli mengajak umat Islam di tanahair sama-sama berdoa supaya urusan ibadah haji ibu bapa, keluarga, jiran dan umat Islam di Malaysia amnya dipermudah oleh Allah SWT.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN