Hospital TABTAR sasar pematuhan kebersihan tangan lebih 75 peratus

Hospital TABTAR sasar pematuhan kebersihan tangan lebih 75 peratus

HAMZAINI Abdul Hamid (baris belakang, dua dari belakang) bersama kanak-kanak dari Taska Anak Pintar Hospital TABTAR pada Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2026 di hospital berkenaan hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD AKMAL ZUHDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR) menyasarkan kadar pematuhan kebersihan tangan melebihi 75 peratus secara konsisten sebagai penanda aras budaya keselamatan pesakit.

Pengarah Hospital TABTAR, Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid berkata, sasaran itu penting kerana kebersihan tangan merupakan langkah paling asas tetapi kritikal dalam mencegah jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan.

Hamzaini berkata, sebagai hospital rujukan pakar kanak-kanak, tanggungjawab warga hospital adalah lebih besar kerana pesakit terdiri daripada golongan rentan yang mempunyai sistem imun lebih lemah.

“Satu sentuhan tanpa kebersihan boleh membawa risiko jangkitan, manakala satu tindakan yang betul pada masa tepat mampu menyelamatkan nyawa,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2026 di hospital berkenaan hari ini.

Program anjuran Unit Kawalan Infeksi Hospital TABTAR itu diadakan sempena sambutan global World Hand Hygiene Day yang disambut pada 5 Mei setiap tahun.

Sambutan bertemakan Action Saves Lives itu turut menjadi sebahagian daripada Program Mobile Community Services (MCS) 2026 bagi meningkatkan kesedaran warga hospital, pesakit dan komuniti mengenai kepentingan kebersihan tangan.

Tambahnya, amalan kebersihan tangan tidak boleh kekal sebagai pematuhan prosedur semata-mata, sebaliknya perlu dibudayakan dalam setiap lapisan warga hospital.

Beliau berkata, amalan ‘5 detik kebersihan tangan’ yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu terus menjadi panduan dalam setiap aspek penjagaan pesakit.

“Amalan ini perlu beralih daripada sekadar pematuhan kepada budaya kerja, dengan setiap warga hospital memainkan tanggungjawab dalam memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN