ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merekodkan seramai 312 saudara baharu atau mualaf yang mendaftar untuk memeluk agama Islam sepanjang tempoh tiga bulan pertama, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, daripada jumlah itu, masyarakat etnik Sarawak merekodkan jumlah tertinggi seramai 74 orang.
Katanya, jumlah itu diikuti seramai 52 masyarakat orang Asli; 49 orang kaum Cina; 48 orang kaum India; 38 etnik Sabah dan 51 lagi individu lain-lain latar belakang.
“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Akaun Amanah Muallaf menerima peruntukan sebanyak RM19.836 juta untuk melaksanakan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan mualaf di negeri ini.
“Sehingga 30 April 2026, jumlah perbelanjaan yang telah diguna adalah RM7.04 juta, dengan baki peruntukan berjumlah RM12.796 juta. Perbelanjaan ini merangkumi bantuan kebajikan, pendidikan, bimbingan agama serta keperluan asas selaras dengan usaha memperkukuh penghayatan Islam dan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berhubung apakah inisiatif atau bantuan pemerkasaan sosial terhadap golongan mualaf di negeri ini di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah turut memberitahu, antara bantuan yang diberi termasuklah bantuan sekolah rendah dan menengah antara RM1,200 hingga RM1,800 hingga RM3,600 setahun; bantuan perkahwinan one-off bernilai RM1,500 dan pembubaran perkahwinan sivil sehingga RM3,000.
“JAINJ komited memastikan golongan mualaf tidak kembali ke agama asal mereka dengan melaksanakan pelbagai program sokongan moral dan bimbingan; memperkasa kelas bimbingan agama serta pemberian insentif dan saguhati,” katanya.









