Liputan pentadbiran Trump dominasi pemenang hadiah kewartawanan berprestij AS - Utusan Malaysia

Liputan pentadbiran Trump dominasi pemenang hadiah kewartawanan berprestij AS

GAMBAR logo akhbar The Washington Post. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Liputan mengenai pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendominasi Hadiah Pulitzer yang diumumkan pada Isnin, ketika jawatankuasa anugerah itu melancarkan kritikan tajam terhadap usaha Trump untuk mengehadkan kebebasan media.

“Kami berdiri untuk wacana sivik dan menentang penapisan,” kata Pentadbir Pulitzer, Marjorie Miller sebelum pengumuman dibuat.

Beliau memaklumkan bahawa anugerah tahun ini mengiktiraf liputan mengenai tindakan keras imigresen Trump dan pengayaan sekutunya.

“Malangnya, perkara ini perlu diulang sekarang, ketika akses media ke Rumah Putih dan Pentagon disekat, kebebasan bersuara dicabar di jalanan dan presiden Amerika  telah memfailkan saman bernilai berbilion dolar atas tuduhan fitnah serta niat jahat terhadap pelbagai media cetak termasuk penyiaran,” tambahnya.

Hadiah Pulitzer berprestij bagi perkhidmatan awam kewartawanan diberikan kepada The Washington Post atas liputan mendalam mengenai usaha kucar-kacir Trump untuk menyusun semula birokrasi persekutuan AS.

“Dengan perincian yang kaya, liputan itu meneliti kesan terhadap manusia akibat pemotongan dan implikasinya kepada negara,” kata Miller.

Hadiah laporan penyiasatan diberikan kepada The New York Times untuk siri pendedahan mengenai bagaimana Trump memanfaatkan peluang menjana wang yang datang bersama kuasa, memperkayakan keluarganya dan sekutu-sekutunya.

Laporan itu turut menyorot bagaimana sekutu dan keluarga Trump mendapat manfaat daripada hubungan dengan monarki kaya di Teluk serta penglibatan dalam mata wang kripto.

Dalam kategori laporan tempatan, The Chicago Tribune menerima penghormatan atas gaya penulisan yang hidup dan kuat mengenai bagaimana ejen imigresen persekutuan melakukan tindakan keras di bandar Chicago dalam operasi digambarkan seperti pencerobohan seperti pengepungan terhadap pendatang haram tanpa dokumen.

Hadiah kedua dalam kategori itu diberikan kepada Connecticut Mirror dan ProPublica untuk siasatan mengenai amalan penundaan kenderaan yang tidak beretika.

Wartawan Miami Herald, Julie K. Brown menerima petikan khas atas laporan perintis beliau pada 2017 dan 2018 mengenai pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein.

Artikel berjudul Perversion of Justice atau Penyalahgunaan Sistem Keadilan oleh Brown, kata Miller, mendedahkan bagaimana pendakwa raya melindungi Epstein daripada tuduhan pemerdagangan seks persekutuan ketika beliau pertama kali dituduh menganiaya wanita muda.

Dalam kategori fotografi berita tergempar, Reuters memenangi hadiah melalui gambar Saher Alghorra yang menyayat hati, sensitif dan menunjukkan kemusnahan serta kebuluran di Gaza akibat perang dengan Israel.

Reuters turut menerima anugerah dalam kategori laporan nasional atas liputan mengenai penggunaan kuasa eksekutif Trump dan pengaruh penyokongnya untuk membalas dendam terhadap musuh politik.

Agensi berita Associated Press pula diiktiraf dalam kategori laporan antarabangsa berhubung pendedahan mengenai bagaimana kerajaan AS membenarkan syarikat negaranya menjual teknologi pengawasan kepada China.

Hadiah Pulitzer untuk laporan penerangan diberikan kepada San Francisco Chronicle mengenai artikel bersiri tentang kesan kebakaran Los Angeles, termasuk bagaimana syarikat insurans menilai rendah hartanah, menolak tuntutan pemilik rumah dan menyukarkan usaha pembinaan semula.

Sementara itu, hadiah untuk laporan berita tergempar diberikan kepada Minnesota Star Tribune berhubung liputan mengenai insiden tembakan di sebuah sekolah Katolik yang menyebabkan dua kanak-kanak maut dan 17 cedera.

Hadiah itu menekankan isu keganasan senjata api di AS dan batasan usaha untuk menanganinya.

Dalam pada itu, Hadiah Pulitzer bagi penulisan rencana diberikan kepada Aaron Parsley dari Texas Monthly atas liputannya mengenai banjir di wilayah Texas Tengah yang memusnahkan rumahnya dan membunuh anak saudaranya.

Drama ‘Liberation’ oleh Bess Wohl menang dalam kategori drama, manakala Hadiah Pulitzer sejarah diberikan kepada ‘We the People’ oleh Jill Lepore dan hadiah biografi diberikan kepada ‘Pride and Pleasure’ oleh Amanda Vaill.

Hadiah Pulitzer diselia oleh Universiti Columbia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×