MEKAH: Seorang remaja berusia 18 tahun membuktikan perancangan awal dan disiplin menyimpan sejak kecil membolehkannya menunaikan ibadah haji pada usia muda.
Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman berkata, peluang itu diperoleh hasil usaha ibunya yang mendaftarkannya dengan simpanan Tabung Haji sejak masih bayi.
Menurutnya, simpanan dibuat secara berperingkat termasuk menggunakan duit raya dan wang poket selain sokongan berterusan daripada ibu bapanya.
“Mak daftarkan saya sejak 2008. Alhamdulillah, tahun ini nama saya dipilih dan saya dapat datang seorang diri,” katanya ketika ditemui di sini.
Eusoff berkata, walaupun pertama kali ke luar negara tanpa keluarga, pengalaman tinggal di asrama sebelum ini membantunya menyesuaikan diri.
Katanya, hubungan baik dengan rakan sebilik yang lebih berusia turut memberi banyak manfaat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Walaupun perbezaan umur agak besar, saya ambil peluang belajar daripada pengalaman mereka,” katanya.
Beliau yang memperoleh keputusan 7A dalam SPM turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya atas sokongan yang diberikan.
Dalam pada itu, Eusoff menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak dengan Tabung Haji sejak kecil bagi meningkatkan peluang menunaikan ibadah tersebut lebih awal.-UTUSAN










