PETALING JAYA: Pasaran minyak sawit mentah (CPO) dijangka terus stabil pada Mei 2026 dengan purata harga dianggarkan sekitar RM4,541 satu tan, meskipun mencatat penyusutan kecil sebanyak 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Menurut MBSB Research, prestasi harga itu dijangka terus disokong oleh pengeluaran bermusim yang lebih rendah ketika fasa pendebungaan serta jangkaan pelaksanaan mandat biodiesel B15 di Malaysia dan B50 di Indonesia yang disasarkan bermula Jun hingga Julai tahun ini.
“Peningkatan penggunaan biodiesel di kedua-dua negara pengeluar utama sawit dunia itu dijangka membantu meningkatkan permintaan domestik minyak sawit dan seterusnya mengetatkan bekalan di pasaran global.
“Selain itu, sentimen pasaran tenaga yang masih kukuh turut memberi sokongan kepada harga CPO, khususnya apabila jurang harga Palm Oil–Gasoil (POGO) semakin mengecil berikutan harga gasoil yang kekal tinggi.
“Bagaimanapun, prospek gencatan senjata yang lebih kukuh antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat sebagai risiko utama kepada pasaran komoditi tersebut. Ketegangan geopolitik yang semakin reda berpotensi menurunkan harga tenaga global dan memberi tekanan kepada harga minyak sawit mentah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran CPO Malaysia pada April 2026 kekal sederhana apabila direkodkan sebanyak 1.63 juta tan, meningkat 18.4 peratus berbanding bulan sebelumnya tetapi susut 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan pengeluaran terutama berlaku di Semenanjung Malaysia susulan keadaan cuaca kering yang menjejaskan hasil ladang, khususnya di Kedah, Pahang dan Kelantan.
“Secara purata, hasil tandan buah segar (FFB) negara menurun 9.5 peratus kepada 1.34 tan sehektar, manakala penghantaran FFB ke kilang turut susut 10.4 peratus kepada 8 juta tan.
“Namun begitu, kadar perahan minyak (OER) kekal kukuh melebihi paras 20 peratus, didorong keadaan cuaca lebih kering yang meningkatkan kualiti minyak dan mengurangkan kandungan kelembapan buah sawit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, stok akhir CPO Malaysia pada April meningkat kepada 2.31 juta tan, naik 23.8 peratus berbanding tahun lalu berikutan permintaan eksport yang lebih perlahan selepas musim perayaan.
“Walaupun begitu, eksport minyak sawit masih mencatat pertumbuhan positif sebanyak 18 peratus kepada 1.30 juta tan, dipacu aktiviti penyimpanan semula stok sebelum kenaikan duti eksport CPO Malaysia kepada 9.5 peratus pada April,” katanya.
MBSB Research mengekalkan prospek “positif taktikal” terhadap sektor perladangan sawit, didorong jangkaan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh serta potensi peningkatan penggunaan biodiesel di rantau ini. – UTUSAN










