Harga bahan api, kos logistik boleh lonjak inflasi hingga 2.5 peratus

Harga bahan api, kos logistik boleh lonjak inflasi hingga 2.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi negara dijangka meningkat sehingga mencecah 2.5 peratus tahun ini susulan tekanan kos global, termasuk kenaikan harga komoditi dan tenaga dunia serta kesan pelarasan harga bahan api di pasaran domestik.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) yang meletakkan kadar inflasi antara 1.5 hingga 2.5 peratus disifatkan realistik berdasarkan risiko semasa ekonomi domestik dan luaran.

Menurut beliau, lonjakan inflasi kepada 1.9 peratus pada April 2026 susulan pelarasan harga runcit petrol RON97 dan diesel menunjukkan tekanan kos mula dirasai dalam ekonomi negara.

“Kenaikan kepada 1.9 peratus pada April lalu sememangnya dipacu oleh faktor kos pengangkutan.

“Namun, unjuran BNM pada paras 1.5 hingga 2.5 peratus masih relevan kerana kerajaan masih mempunyai instrumen sokongan untuk mengimbangi tekanan kos sara hidup secara bersasar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kenaikan harga petrol dan diesel berpotensi mencetuskan kesan heretan kos yang boleh memberi tekanan kepada harga makanan, logistik dan perkhidmatan lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kesan berantai itu tetap ada, khususnya terhadap subkumpulan makanan di luar rumah dan kos penghantaran barangan.

“Kita sudah melihat tanda awal apabila inflasi makanan di luar rumah meningkat kepada 2.6 peratus pada April. Pemantauan ketat rantaian bekalan amat penting bagi mengelakkan manipulasi harga oleh peniaga,” katanya.

Mengulas trend inflasi bagi separuh kedua 2026, beliau menjangkakan kadar inflasi akan bergerak menghampiri paras siling unjuran BNM sebelum kembali lebih stabil selepas pasaran menyerap impak pelarasan harga bahan api.

“Memasuki separuh kedua 2026, tekanan inflasi dijangka lebih mendatar selepas pasaran domestik selesai menyerap impak pelarasan harga bahan api ini.

“Jika harga komoditi global tidak mengalami kejutan geopolitik baharu, inflasi keseluruhan tahun ini berkemungkinan ditutup sekitar 2.1 hingga 2.3 peratus, masih dalam lingkungan sasaran selamat bank pusat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, tekanan inflasi ketika ini perlu dipantau bagi menentukan sama ada ia bersifat sementara atau berisiko memberi kesan lebih besar kepada kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, risiko utama adalah sekiranya pemain logistik mula memindahkan peningkatan kos operasi secara agresif kepada pengguna akhir.

“Jika rantaian logistik mula menaikkan caj mereka secara mendadak tanpa kawalan, maka impak heretan kos ini akan dirasai secara langsung oleh rakyat dalam perbelanjaan harian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN