AS terkejut Iran bina semula tentera - Utusan Malaysia

AS terkejut Iran bina semula tentera

IRAN membina kekuatan ketenteraannya dengan lebih cepat berbanding jangkaan risikan AS semasa gencatan senjata yang bermula 8 April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran membina semula industri ketenteraannya lebih pantas daripada jangkaan, malah sudah kembali menghasilkan dron dalam tempoh gencatan senjata selama enam minggu yang bermula 8 April seperti diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pembinaan itu merupakan petanda negara itu sedang berusaha meningkatkan keupayaan ketenteraan yang sebelum ini terjejas akibat serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari..

Empat sumber memberitahu CNN, risikan AS menunjukkan tentera Iran sedang pulih semula dengan lebih pantas daripada anggaran awal.

Pembinaan semula keupayaan ketenteraan, termasuk penggantian tapak peluru berpandu, pelancar dan kapasiti pengeluaran bagi sistem senjata utama yang musnah dalam perang itu.

Ia bermakna Iran masih kekal sebagai ancaman besar kepada negara-negara sekutu serantau sekiranya Presiden AS, Donald Trump menyambung semula kempen pengeboman, menurut empat sumber yang mengetahui risikan tersebut. 

Ia juga mencabar dakwaan mengenai sejauh mana serangan AS-Israel telah melemahkan ketenteraan Iran dalam tempoh jangka panjang.

Walaupun tempoh untuk memulakan semula pengeluaran komponen senjata berbeza-beza,  risikan AS menunjukkan Iran boleh memulihkan sepenuhnya keupayaan dron serangan dalam tempoh secepat enam bulan, kata seorang pegawai AS kepada CNN.

“Pihak Iran telah melepasi semua garis masa yang dijangka oleh komuniti risikan untuk pemulihan semula,” kata pegawai AS itu. 

Serangan dron menjadi kebimbangan utama kepada negara-negara sekutu AS serantau. Jika konflik berterusan, Iran boleh meningkatkan pengeluaran peluru berpandu dengan lebih banyak pelancaran dron untuk terus menyerang Israel dan negara-negara Teluk.

Trump berulang kali mengancam untuk menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran jika kedua-dua negara gagal mencapai perjanjian menamatkan perang.

Ia termasuk kenyataan bahawa beliau hampir memulakan semula pengeboman pada Selasa sebelum ditangguhkan atas permintaan tiga pemimpin negara Arab.

BANTUAN RUSSIA, CHINA

Menurut salah satu sumber, Iran mampu membina semula dengan lebih pantas daripada jangkaan kerana gabungan beberapa faktor, termasuk sokongan dari Russia dan China.

Ia juga disebabkan bahawa AS dan Israel menyangka serangan mereka telah menyebabkan Iran mengalami kerosakan besar, kata salah satu sumber kepada CNN. 

Sebagai contoh, China terus membekalkan komponen kepada Iran sepanjang konflik yang boleh digunakan untuk membina peluru berpandu, menurut dua sumber yang mengetahui penilaian risikan AS.

Dalam temu bual bersama CBS, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini mendakwa China membekalkan komponen pembuatan peluru berpandu kepada Iran. 

Namun, jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun menafikan dakwaan itu dalam satu sidang media, menyifatkannya sebagai tidak berasaskan fakta.

Sementara itu, Iran masih mengekalkan keupayaan peluru berpandu balistik, dron serangan dan pertahanan udara walaupun mengalami kerosakan teruk akibat serangan AS-Israel, menurut penilaian risikan AS terkini. 

“Ini bermakna proses pemulihan pantas keupayaan pengeluaran tidak bermula dari sifar,” kata sumber berkenaan.

Jurucakap Markas Pusat AS (CENTCOM) enggan mengulas, dengan menyatakan badan itu tidak membincangkan perkara berkaitan risikan. 

Ketua jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan kepada CNN menolak kenyataan itu sebaliknya mendakwa tentera AS adalah yang paling berkuasa di dunia dan mempunyai segala keperluan untuk bertindak pada masa dan tempat yang dipilih presiden.

PELANCAR MASIH BERTAHAN

CNN melaporkan pada April, risikan AS menganggarkan kira-kira separuh daripada pelancar peluru berpandu Iran masih bertahan selepas serangan AS. 

Laporan terkini mendapati angka itu meningkat kepada dua pertiga, sebahagiannya kerana gencatan senjata yang berterusan memberi Iran masa untuk menggali keluar pelancar yang mungkin tertimbus akibat serangan sebelum ini.

Anggaran keseluruhan risikan AS mungkin termasuk pelancar yang kini tidak dapat diakses, seperti yang tertimbus di bawah tanah akibat serangan tetapi tidak musnah.

Ribuan dron Iran masih wujud, kira-kira 50 peratus daripada keupayaan dron negara itu, menurut dua sumber sebelum ini kepada CNN.

Risikan juga menunjukkan sebahagian besar peluru berpandu pertahanan pantai Iran masih utuh, sejajar dengan fakta bahawa AS tidak memfokuskan kempen udaranya terhadap aset ketenteraan pesisir walaupun ia telah menyerang kapal. 

Peluru berpandu ini merupakan keupayaan penting yang membolehkan Iran mengancam laluan perkapalan di Selat Hormuz. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN