LONDON: Pertahanan Manchester United, Harry Maguire terkejut dan kecewa selepas digugurkan daripada skuad Piala Dunia England kendalian Thomas Tuchel.
Pemain berusia 33 tahun itu mengakui keputusan tersebut sukar diterima, lebih-lebih lagi selepas merasakan dirinya berada pada prestasi terbaik musim ini dan yakin mampu memainkan peranan penting bersama The Three Lions.
“Saya yakin mampu menyumbang secara besar kepada pasukan negara musim panas ini berdasarkan musim yang saya lalui.
“Namun saya benar-benar terkejut dan kecewa dengan keputusan ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Tuchel dijadual mengumumkan senarai 26 pemain England hari ini, namun jurulatih dari Jerman itu dilaporkan sudah menghubungi pemain-pemain terpilih sehari lebih awal.
Maguire sebelum ini dipanggil semula ke skuad kebangsaan pada Mac lalu, sekali gus menjadi penampilan pertamanya di bawah Tuchel.
Bek tengah yang sudah mengumpul 66 kaps bersama England itu menegaskan tiada perkara yang lebih membanggakan buat dirinya selain menyarung jersi negaranya.
“Saya sentiasa menyukai saat memakai jersi England dan mewakili negara sepanjang karier saya. Saya doakan semua pemain yang terpilih berjaya mengharungi kejohanan ini,” katanya.
Meskipun berdepan kekecewaan di pentas antarabangsa, Maguire menikmati musim yang positif bersama Manchester United apabila menjadi tonggak utama sejak Michael Carrick mengambil alih pasukan pada Januari lalu.
Kehadirannya membantu United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris(EPL) di tangga ketiga, sekali gus menghidupkan semula reputasinya selepas melalui tempoh sukar sebelum ini.-AGENSI










