SHAH ALAM: Hanya empat daripada lebih 300 syarikat kapal di negara ini menandatangani perjanjian kolektif (CBA) bersama Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha NUSPM, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana kebanyakan syarikat perkapalan dilihat mengambil sikap lepas tangan terhadap kebajikan pekerja.
Katanya, kegagalan syarikat untuk memeterai CBA memberi kesan kepada hak dan perlindungan pekerja, khususnya dalam aspek gaji, faedah dan jaminan kebajikan pelaut tempatan.
“Apabila tiada perjanjian seperti ini, apakah jaminan sekiranya berlaku penindasan terhadap pekerja, khususnya berkaitan gaji?
“Kepada siapa mereka mahu mengadu dan membawa isu ini?” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian CBA antara NUSPM dan Orkim Berhad di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Orkim Berhad Kapten Cheah Sin Bi.
Menurut Ikma Azaml, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kebajikan, perlindungan pekerjaan, serta meningkatkan standard pekerjaan pelaut Malaysia selaras dengan perkembangan industri maritim dan piawaian buruh antarabangsa.
Dalam pada itu, katanya, syarikat yang enggan menandatangani CBA berisiko menjejaskan masa depan tenaga kerja maritim tempatan kerana pelaut muda semakin kurang berminat untuk menyertai industri itu.
Katanya, NUSPM berharap lebih banyak syarikat tampil bekerjasama dan menunjukkan komitmen dalam menjaga kebajikan pekerja demi kelangsungan industri perkapalan negara.
Sementara itu, Kapten Cheah Sin Bi berkata, pihak pengurusan Orkim Berhad akan memulakan struktur gaji kru kapal berdasarkan prinsip gaji kehidupan wajar sebagai langkah permulaan ke arah memastikan pendapatan yang lebih adil, mampan dan bermaruah kepada warga pelaut.










