KOTA BHARU: Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Md. Nor yang berdepan penggantungan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kehadiran beliau ke program UMNO Ketereh hari ini adalah hanya bagi memenuhi jemputan.
Beliau berkata, tindakan itu bagi memenuhi undangan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad yang merupakan saudaranya.
“Tapi saya hendak jelaskan, saya datang hari ini, ini betul-betul atas jemputan Alwi. Alwi ini saudara saya. Kebanyakannya mereka yang hadir hari ini adalah pengundi saya semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu. Jadi apa salah saya datang?, saya bukan mengkhianati parti,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Tapak Rumah UMNO Ketereh di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md. Alwi Che Mat Ahmad dan Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Dalam perkembangan lain, Khlir berpandangan tindakan memecat dan penggantungan beberapa pimpinan oleh Bersatu sejak kebelakangan ini memberi kesan tidak baik kepada parti itu.
“Bagi saya tak baguslah kita pecat orang, buang orang. Kenapa tidak beri amaran atau nasihat supaya kembali ke jalan betul? Bila kita pecat orang, kita mengurangkan orang. Bila buang dan gantung, maknanya parti makin berkurang,” ujarnya.-UTUSAN.










