GEORGE TOWN : Fasa pertama bangunan gudang kargo udara baharu bagi projek Penang International Logistics Aeropark (PILA) yang bertaraf zon perdagangan bebas dijangka siap dan mula beroperasi menjelang 2029.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek berkenaan berada pada fasa awal pelaksanaan dengan kerja-kerja tanah dan rawatan tanah sedang giat dijalankan selepas kelulusan Pelan Induk Kebenaran Merancang diperoleh.
“Fasa pertama bangunan gudang kargo udara baharu dijangka siap dan mula beroperasi pada tahun 2029, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan khususnya bagi industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E),” katanya selepas lawatan ke tapak projek PILA di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, projek PILA dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sektor logistik dan perindustrian di negeri ini apabila mampu menampung kapasiti kargo sehingga 500,000 tan setahun menjelang 2050.
Katanya, pembangunan strategik itu merupakan usaha sama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memperkukuh ekosistem logistik di Wilayah Utara.
“Secara keseluruhannya, pembangunan itu bakal menyediakan ruang gudang melebihi dua juta kaki persegi bagi memenuhi permintaan industri logistik yang semakin berkembang,” katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, penubuhan syarikat usaha sama, PILA Sdn. Bhd. telah mendapat kelulusan lembaga PDC dan MAHB dengan perjanjian berkaitan dimeterai pada 13 April lalu.
“Kerjasama strategik ini amat penting dalam menyokong keperluan logistik masa depan, selari Visi Penang 2030 serta Rancangan Struktur Negeri 2030, selain pelaksanaan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya.
Beliau berkata, projek tersebut ketika ini telah menerima komitmen awal daripada syarikat logistik antarabangsa dan pemain tempatan yang berminat untuk menjadi penyewa.
Menurutnya, majlis pelancaran rasmi projek dalam perancangan dan dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.-UTUSAN










