KUALA LUMPUR: Penganjuran SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality terus mengukuhkan statusnya sebagai acara larian terbesar negara apabila edisi kali ini dijangka menghimpunkan 50,000 peserta di Putrajaya, sekali gus mencipta rekod baharu dalam sejarah sukan tersebut di Malaysia.
Sambutan luar biasa memaksa penganjur membuka tambahan 300 slot penyertaan, selain mengemukakan permohonan kepada ‘Malaysia Book of Records’ bagi mengiktiraf pencapaian itu menjelang acara yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Buat pertama kali, perlumbaan akan berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya dengan kategori 5 kilometer (km) dan 10km diadakan pada 18 Julai, diikuti separuh maraton 21km dan maraton penuh 42km pada 19 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, pencapaian itu mencerminkan perubahan positif dalam budaya sukan larian di Malaysia yang semakin berkembang.
Tambahnya, penglibatan jenama global seperti adidas sebagai rakan pakaian rasmi serta sokongan berterusan AIA Vitality sebagai penaja utama membantu memperkukuh kualiti penganjuran.
“Pencapaian 50,000 pelari merupakan satu detik penting buat kami, namun yang lebih bermakna adalah bagaimana budaya larian di Malaysia kini semakin berkembang.
“Apa yang kita lihat bukan sekadar peningkatan jumlah peserta, tetapi perubahan cara masyarakat mendekati sukan ini, daripada pelari baharu kepada mereka yang mengejar prestasi lebih tinggi.
“Menganjurkan acara sebesar ini bukan hanya usaha penganjur semata-mata, tetapi hasil kerjasama semua pihak dan kekuatan rakan penaja memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman keseluruhan pelari,” katanya.
Dalam masa sama, SCORE Marathon turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dan inovasi termasuk sistem pengambilan kit perlumbaan digital serta teknologi pengecaman wajah berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan peserta mendapatkan gambar mereka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang dijangka menyertai acara separuh maraton buat kali pertama berkata, acara itu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencabar diri dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Tahun lalu, menamatkan larian 10km sudah menjadi pencapaian peribadi buat saya. Tahun ini, saya akan mencabar diri dalam separuh maraton. Ia menunjukkan bagaimana acara ini mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.
“Apa yang menggalakkan ialah sukan larian kini semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian masyarakat dan acara seperti ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan orang ramai kekal aktif,” jelasnya.
Edisi 2026 turut memperkenalkan ‘SCORE Double Challenge’ serta kategori prestasi tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian utama di rantau ini dengan penyertaan dari lebih 55 negara.-UTUSAN










