IPOH: Persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif menjadi pemangkin utama kepada peningkatan prestasi akademik pelajar, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, suasana pembelajaran selesa dan bangunan selamat dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran serta memudahkan guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, persekitaran kondusif dan bangunan yang selamat akan memberi kesan terhadap pembelajaran dan membantu guru melaksanakan PdP dengan lebih berkesan.
“Sehubungan itu, kita akan terus memastikan sekolah kekal selamat, kondusif dan dilengkapi kemudahan terbaik bagi meningkatkan mutu pendidikan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan sesi penyerahan Kompleks Pendidikan Negeri Perak yang baharu dibina di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato Ir Ibrahim Esa dan Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Mengulas pencapaian calon luar bandar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memberangsangkan, Fadhlina Sidek berkata keputusan itu mencerminkan usaha berterusan dalam merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
“Secara keseluruhannya, kawasan luar bandar menunjukkan peningkatan yang sangat baik dan kita berterima kasih kerana isu berkaitan infrastruktur termasuk bangunan dan sekolah daif terus diberi perhatian oleh kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan beliau berkata, sebarang kelemahan akan diberi perhatian dan ditangani susulan dakwaan segelintir ibu bapa bahawa pelajar Program Permata Pintar kurang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam SPM 2025.
“Secara keseluruhan, keputusan SPM menunjukkan peningkatan dan kita berbangga dengan pencapaian pelajar. Sebarang kelemahan yang dikenal pasti akan diperbaiki melalui intervensi segera,” katanya.
Mengenai Kompleks Pendidikan Negeri Perak, beliau berkata, projek yang bermula pada 2022 dan siap Mac lalu itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan di seluruh negara.
Katanya, kompleks baharu seluas 2.5 hektar dengan kos keseluruhan RM58 juta itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun ini dan dilengkapi kemudahan termasuk makmal komputer, bilik seminar, ruang kaunseling, dewan utama dan pejabat pentadbiran
“Reka bentuk kompleks ini menampilkan elemen identiti budaya Perak termasuk struktur ikonik berinspirasikan rumah tradisional Perak di pintu masuk.
“Bangunan lama JPN Perak di Jalan Tun Abdul Razak akan diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara untuk kegunaan operasi,” katanya. – UTUSAN










