KUALA LUMPUR: Polis memperhebat operasi membanteras penipuan dalam talian apabila menahan 833 individu menerusi dua operasi khas, Op Taring dan Op Belatuk, sepanjang suku pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi bersepadu itu menyasarkan kegiatan pusat panggilan (call centre) serta penipuan e-dagang yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata, melalui Op Taring yang dijalankan dari 26 Januari hingga 5 Februari lalu, seramai 430 individu berusia antara 17 hingga 66 tahun ditahan.
“Tangkapan tertinggi bagi operasi ini membabitkan warga asing seramai 270 orang, manakala selebihnya melibatkan warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai operator, pembekal skrip dan penyedia infrastruktur komunikasi.
“Menerusi operasi ini juga, polis merampas pelbagai peralatan komunikasi bernilai RM307,860 dan sebanyak 18 daripada 74 kertas siasatan yang dibuka telah dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JSJK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Op Belatuk yang dijalankan dari 13 hingga 19 April lalu pula menyasarkan penipuan tawaran kerja sambilan dan e-dagang dengan 403 tangkapan direkodkan.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 358 individu dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank atau keldai akaun, manakala 45 lagi daripada 11 sindiket dipercayai terlibat secara langsung dalam operasi penipuan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jenayah penipuan tawaran kerja sambilan menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 173 peratus tahun lalu dengan jumlah kerugian melebihi RM219.6 juta.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan JSJK turut melaksanakan Op Frontier yang menyaksikan tangkapan 1,372 individu berkaitan sindiket keldai akaun, selain Op Cenderahati yang melibatkan 46 tangkapan berhubung penipuan bekalan cenderahati tidak wujud.-UTUSAN










