Malaysia rugi RM700 juta setahun kecurian elektrik bitcoin

Malaysia rugi RM700 juta setahun kecurian elektrik bitcoin

ABDUL Rahman Mohamad (tiga dari kanan) melihat kegiatan mencuri elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Malaysia mengalami kerugian lebih RM700 juta setahun akibat kecurian elektrik yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan bitcoin.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah tersebut membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kerugian yang lebih besar.

“Selain kerugian besar kepada negara, aktiviti ini mengancam keselamatan awam dan kerosakan harta benda. Rata-rata premis yang diperiksa didapati menggunakan sistem pendawaian yang tidak selamat hingga berisiko berlaku letupan dan kebakaran.

“Pada masa sama, ia mengundang masalah dan gangguan sistem bekalan elektrik kepada pengguna lain,” katanya selepas menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik melibatkan dua kediaman yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di sekitar Taman Seri Mahkota dan Kampung Batu 11, di sini hari ini.

Hasil operasi kira-kira pukul 10 pagi disertai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga itu mengesan kegiatan melombong mata wang kripto secara haram menggunakan premis kediaman yang disewa bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan di premis pertama menemukan 18 mesin melombong yang sedang beroperasi yang menggunakan kira-kira 40,703 kilowatt elektrik sehari dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM21,000 sebulan.

“Bagi premis kedua, terdapat 10 mesin beroperasi dengan anggaran penggunaan elektrik 26,403.84 kilowatt sehari melibatkan kerugian dianggarkan RM13,703 sebulan. Untuk dua premis ini sahaja kerugian mencecah RM34,000 sebulan atau 208,000 untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447].

“Jika sabit kesalahan, syarikat atau individu terbabit akan berhadapan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Justeru itu, beliau meminta pemilik rumah agar lebih peka dan mengambil tahu tentang penyewa kediaman masing-masing bagi mengelak premis tersebut disalah guna untuk aktiviti haram.

“Sebaiknya, tukar akaun pengguna elektrik kepada nama penyewa kerana bagi kes seperti ini (kecurian elektrik) tuntutan akan dikenakan kepada pemilik jika penyewa gagal dikesan.

“Penduduk setempat juga diminta memainkan peranan melaporkan aktiviti melombong wang kripto jika syak berlaku kecurian elektrik di kawasan masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN