Genting Highlands catat 9.2 juta pelancong tahun lalu

Genting Highlands catat 9.2 juta pelancong tahun lalu

WAN ROSDY Wan Ismail (kanan) melakukan simbolik mewarnakan mata naga sempena perasmian AK Antara Signature Mall Genting Highlands, Bentong, Pahang semalan. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sebanyak 9.204 juta daripada 15.275 juta pelancong yang berkunjung ke Pahang tahun lalu bertumpu di Genting Highlands, dekat sini sekali gus mengangkat kawasan itu sebagai katalis utama pelancongan tanah tinggi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dominasi jumlah pelancong tersebut membuktikan Genting Highlands bukan sekadar destinasi percutian malah menjadi pemacu utama ekonomi pelancongan Pahang.

Kata beliau, kehadiran pelancong di tanah tinggi itu turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor lain termasuk perhotelan, peruncitan dan per­khid­matan.

“Genting Highlands kini menjadi lokasi utama pelancongan negeri dan memainkan peranan penting dalam memastikan sektor ini terus berkembang secara mampan,” katanya. ketika merasmikan AK Antara Signature Mall di Genting Highlands, di sini, semalam.

Menurut Wan Rosdy, pembukaan pusat beli-belah itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh lagi ekosistem pelancongan tanah tinggi di kawasan berkenaan.

“Ia ini bukan sekadar tempat membeli-belah tetapi platform ekonomi dan destinasi gaya hi­dup yang mampu meningkatkan perbelanjaan pelancong,” ujarnya.

Menurutnya, Pahang mempunyai kelebihan unik dengan kepelbagaian destinasi pelancongan dalam satu negeri termasuk tanah tinggi, pulau, pantai dan hutan tropika.

Katanya, kelebihan itu membolehkan sektor pelancongan berkembang sepanjang tahun, sekali gus memberi kelebihan strategik berbanding negeri lain.

Sementara itu, beliau berkata, Pahang turut mencatat kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia dengan lebih 36,000 bilik berdaftar.

“Semakin lama pelancong tinggal, semakin tinggi perbe­lanjaan mereka dan semakin luas manfaat ekonomi kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×