Dabara pastikan gasing terus berpusing

Dabara pastikan gasing terus berpusing

PERMINANAN gasing pangkah melambangkan kemahiran, stra­tegi dan ketahanan fizikal serta semangat kesukanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dalam era tek­nologi dan permainan digital, permainan gasing pangkah yang merupakan warisan tradisional Melayu semakin dilupakan.

Permainan menjadi identiti budaya masyarakat khususnya di kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia ini bukan sekadar hiburan, tetapi melambangkan kemahiran, stra­tegi dan ketahanan fizikal serta semangat kesukanan.

Gasing pangkah berbeza daripada gasing biasa kerana fokusnya adalah untuk memangkah atau melanggar gasing pihak lawan sehingga jatuh atau berhenti berpusing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia memerlukan kemahiran melilit tali, teknik melontar yang tepat dan kekuatan serta kawalan badan. Keunikan ini menjadikan seni permainan ini memerlukan latihan dan kesabaran.
permulaan dabara.

Di Batu Rakit, sebuah pasukan gasing tempatan berinisiatif menghidupkan semula permainan tradisi itu dengan mengaktifkan kumpulan lama yang sudah lama menyepi, yang kebanyakannya terdiri daripada generasi ketiga.

Pengurus Kumpulan Gasing Darat Batu Rakit (Dabara), Mohd. Zahid Shafie berkata, usaha itu bermula pada 2024 melalui penganjuran kejohanan gasing empat penjuru bersama ahli keluarga dan sejak itu setiap minggu dianjurkan di kawasan berkenaan.

TEKNIK memangkah atau melanggar gasing sehingga jatuh atau berhenti berpusing.

Menerusi penganjuran kejohanan itu, kumpulan gasing yang sudah lama tidak aktif kembali menunjukkan taring masing-masing.

“Secara asasnya, satu kumpulan gasing mempunyai 25 ahli paling ramai dan paling sedikit adalah 10 hingga 11 orang. Bagaimanapun, pemain yang boleh masuk ke dalam medan adalah enam orang dengan masing-masing mempunyai peranan sebagai pemusing dan pemangkah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Mohd. Zahid berkata, dia bersama keluarganya bekerjasama menganjurkan kejohanan Liga Gasing, tahun lalu dan kini Dabara kian dikenali sehingga mendapat banyak jemputan untuk membuat persembahan.

Pengalaman pemain ‘otai’ membantu yang muda kerana gasing perlukan kemahiran. Hanya yang minat dan sanggup belajar sahaja mampu menjadi pemain gasing yang hebat.

TERUSKAN LEGASI

Muhamad Kha­zaimi Kamarudin, 42, mula bermain gasing lima tahun lalu apabila permainan tradisional itu dihidupkan kembali di Kampung Darat Batu Rakit.

Katanya, walaupun pada masa itu dia tidak mempunyai kemahiran, pasukannya banyak membantu menggilap bakatnya.

“Saya minat tetapi tiada kemahiran bermain gasing. Orang lama mengajar saya cara bermain gasing dari awal hingga akhir. Alhamdulillah saya dapat menguasai kemahiran ini dalam beberapa bulan,” katanya.

Muhammad Khazaimi berkata, permainan itu perlu dihidupkan kembali supaya generasi muda dapat melibatkan diri dan mengenalinya.

“Bermain gasing memerlukan disiplin selain daya tahan dan rasa hormat terhadap warisan turun-temurun ini. Ia juga dapat mengeratkan hubungan antara generasi apabila golongan tua berkongsi ilmu dan pengalaman mereka,” katanya yang akan menganjurkan Liga Gasing pada Julai ini.

GUNA BOMOH

Ketaasuban terhadap permainan gasing pangkah menyebabkan ada pemain dahulu dipercayai sanggup menggunakan ilmu hitam atau bomoh untuk memastikan gasing mereka berpusing paling lama.

Itu diakui oleh pemain gasing ‘otai’, Yah Omar, 58, yang kini merupakan tukang gasing kumpulan Dabara.

Katanya, zaman dahulu, ketika dia masih remaja, kumpulan gasing ketika itu berkumpul pada waktu malam sebelum pertandingan bermula keesokkan harinya.

“Mereka memilih gasing yang paling ligat untuk dipertandingkan. Ada upacara jampi untuk pastikan gasing itu menang. Tetapi itu pada zaman dululah, kehebatan dalam bermain gasing sehingga ada yang sanggup guna bomoh untuk jampikannya,” katanya.

Kampung Lerek dan Kampung Darat Batu Rakit, banyak melahirkan pemain gasing hebat dan sukar ditumpaskan suatu ketika dahulu.

“Ketika itu saya masih remaja dan kini ramai pemain lama telah meninggal dunia. Kini terdapat pemain muda yang meneruskan legasi permainan gasing yang semakin aktif sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Katanya, sejak bergelar tukang gasing pangkah tradisi, dia telah menghasilkan kira-kira 30 biji gasing menggunakan kayu penaga dan timah dengan bantuan mesin untuk membentuk rangka.

“Biasanya saya pergi ke hutan di Sungai Tong dan Cheneh untuk mendapatkan kayu penaga. Dalam masa tiga hari saya mampu menyiapkan sebiji gasing.

“Harga sebiji gasing boleh mencecah RM500 bergantung kepada saiz dengan diameter 20 sentimeter, 19.5 sentimeter dan 19 sentimeter serta berat sekitar dua kilogram,” katanya.

TERUS GILAP BAKAT MUDA

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Gasing Terengganu, Mohd. Shahrul Hafizi Sani berkata, persatuan itu mempunyai 25 pemain dewasa dan 30 pelapis remaja berusia bawah 18 tahun.

Menurutnya, persatuan ini melahirkan ramai bakat muda dalam sukan gasing melalui pelbagai program dan pertandingan dalam dan luar negara.

“Kami turut menyertai per­tandingan di Singapura, Brunei dan Thailand bawah seliaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu,” katanya.

Katanya, undang-undang permainan gasing pangkah turut didokumentasikan dalam buku rasmi tradisi.

Melalui program JKKN, bakat muda dicari di sekolah bagi memastikan permainan ini terus diwarisi generasi akan datang agar tidak pupus ditelan zaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini