Festival hiburan melampau ancam moral rakyat

Festival hiburan melampau ancam moral rakyat

BORHAN AHMAD ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerosakan moral dan sosial kepada 33 juta rakyat Malaysia akan kekal sekiranya penganjuran festival hiburan melampau terus dibiarkan.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria berkata, perkara itu membimbangkan kerana melibatkan kesan jangka panjang terhadap pembentukan sahsiah generasi muda jika terus dibiarkan tanpa kawalan tegas oleh pihak berkuasa.

“Festival seperti Rain Rave Water Music Festival 2026 bukan sekadar acara hiburan biasa, sebaliknya berpotensi membawa pengaruh negatif yang bercanggah dengan nilai budaya tempatan dan norma masyarakat.

“Situasi itu dilihat tidak selari dengan usaha membina jati diri belia yang berdepan pelbagai cabaran semasa termasuk tekanan hidup, pengangguran dan krisis identiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Borhan Ahmad, dakwaan bahawa festival itu berjaya menjana pulangan ekonomi yang tinggi sukar dipercayai kerana tiada data rasmi yang jelas dan boleh disahkan.

Katanya, angka kehadiran pengunjung dan nilai pendapatan yang diumumkan perlu disokong dengan audit bebas bagi memastikan ketepatan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Angka yang dikaitkan dengan festival tersebut, termasuk dakwaan pulangan RM200 juta dan kehadiran 180,000 pengunjung, tidak disokong oleh audit bebas atau data rasmi.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga tidak pernah mengeluarkan angka rasmi berhubung perkara itu, sebaliknya hanya berdasarkan anggaran daripada sumber tertentu.

“Malah terdapat laporan lain yang menyebut jumlah pengunjung jauh lebih rendah iaitu sekitar 80,000 orang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketepatan angka yang dikemukakan,” katanya.

Sebelum ini, Rain Rave Water Music Festival di Kuala Lumpur, yang menerima kritikan daripada PAS, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengunjung dan menjana lebih RM200 juta hasil pelancongan.

Memetik ‘data terkini’, Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia, Mint Leong, berkata festival yang diadakan sempena tempoh Hari Pekerja itu turut merekodkan 1.4 bilion ‘klik’ di pelbagai platform media sosial global.

Borhan Ahmad turut menggesa agar semua festival berunsur hedonisme dihentikan serta-merta, khususnya yang dianjurkan atas nama Tahun Melawat Malaysia 2026 demi menjaga nilai masyarakat.

Selain itu, MOTAC perlu mengeluarkan data rasmi kehadiran serta impak ekonomi yang telah diaudit secara bebas dalam tempoh tujuh hari.

“Saya menuntut agar Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka kerana didakwa memutarbelitkan fakta selain mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina nilai agama rakyat.

“Ini kerana Lim Guan Eng telah menggelar pihak yang mempertahankan nilai Islam sebagai “fanatik”, yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya turut kesal dengan sikap segelintir parti politik yang didakwa mendiamkan diri serta bersekongkol dengan DAP, sekali gus mempersoalkan di mana letaknya maruah dan pendirian mereka terhadap isu berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng mendakwa ekstremis atau pelampau dalam Barisan Nasional (BN), UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan Pas sepatutnya berasa malu apabila cuba menghasut dan memecahbelahkan orang awam menentang kejayaan festival berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN