Paras air Sungai Muda selamat, cukup tampung keperluan semasa

Paras air Sungai Muda selamat, cukup tampung keperluan semasa

PATHMANATHAN (kiri) ketika meninjau projek pemasangan dua saluran paip utama baharu bernilai RM416 juta di Solok Tengku, Jelutong, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Paras air di Sungai Muda yang menjadi sumber utama bekalan air mentah di Pulau Pinang kini berada pada tahap selamat susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, setakat ini, paras sungai berkenaan telah melebihi dua meter dan mencukupi untuk menampung keperluan semasa.

“Dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, paras air Sungai Muda didapati berada pada tahap selamat hasil taburan hujan yang baik. 

“Bagaimanapun, PBAPP sentiasa berwaspada terhadap sebarang perubahan,” katanya selepas melawat tapak pemasangan paip utama di Solok Tengku di sini hari ini.

Bulan lepas, paras air di Sungai Muda dilaporkan susut sehingga ke tahap yang membimbangkan apabila mencecah paras berbahaya iaitu 1.27 meter di muka sauk Lahar Tiang dipercayai berpunca daripada pelepasan air bagi tujuan pengairan di negeri jiran, Kedah, di bahagian hulu sungai berkenaan.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, walaupun keadaan paras air semasa ketika ini adalah stabil namun PBAPP menjangkakan taburan hujan akan berkurangan sehingga September ini, sekali gus memerlukan pengurusan sumber air yang lebih teliti.

“Empangan di Pulau Pinang sebenarnya masih menunjukkan trend penyusutan. Empangan Air Itam kini berada pada paras kira-kira 52.8 peratus manakala Teluk Bahang pula sekitar 71.8 peratus. Empangan Mengkuang bagaimanapun mencatatkan paras lebih stabil iaitu 90.2 peratus.

“Oleh itu kita tidak boleh leka dan perlu memastikan paras air empangan sentiasa mencukupi dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya yang memaklumkan PBAPP akan meningkatkan pemindahan bekalan air mentah dari Sungai Muda ke kawasan pulau sebagai langkah proaktif.

Tambah beliau, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jangka pendek bagi memastikan bekalan air kekal stabil khususnya ketika musim kering yang dijangka melanda dalam tempoh terdekat.

“Ketika ini kita menyalurkan kira-kira 420 juta liter sehari (MLD) dan akan menambah lagi sekitar 20 MLD bagi menampung keperluan pengguna di pulau. Bekalan tambahan ini akan disalurkan terus kepada pengguna dan dijangka mencukupi untuk menampung permintaan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN