Selesaikan isu bekalan air di Sungai Muda

Selesaikan isu bekalan air di Sungai Muda

SEKIRANYA ada peraturan dan perjanjian dibuat antara negeri-negeri ini, syarat-syaratnya hendaklah adil dan seimbang dengan kepentingan dan keadilan masing-masing kerana mereka berkongsi air dari Sungai Muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA merujuk kepada isu bekalan air Sungai Muda baru-baru ini dan pertikaiannya antara Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Aliran Sungai Muda melalui kawasan negeri Kedah dan Pulau Pinang, dan jika tiada peraturan dan perjanjian yang berkuatkuasa antara kedua-dua negeri bagi mengawal bekalan dan perkhidmatan air dari sumber Sungai Muda itu, maka Pihak Berkuasa Persekutuan mempunyai kuasa ke atas bekalan dan perkhidmatan air dari Sungai Muda.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai Pihak Berkuasa Persekutuan hendaklah bertanggungjawab untuk menjadi pengawal selia (regulator) dan menyelesaikan isu yang melibatkan bekalan dan perkhidmatan Sungai Muda berdasarkan peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654).

Sebaliknya, jika kedua-dua negeri itu mempunyai peraturan dan perjanjian mengenai bekalan air, maka, Pihak Berkuasa Persekutuan iaitu PETRA dan SPAN tidak mempunyai kuasa.

Namun begitu, andaikan Kedah atau Pulau Pinang tidak bersetuju dan tidak menerima pakai undang-undang bekalan air dan perkhidmatan persekutuan iaitu Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654), Pihak Berkuasa Persekutuan melalui PETRA dan SPAN tidak mempunyai kuasa untuk mengawal dan menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negeri dalam isu ini.

Atas prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian air Sungai Muda, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang secara kolektif, seharusnya memikul tanggungjawab dan kos untuk mengekalkan dan memulihara kebersihan, keselamatan dan kelestarian air dari Ulu Muda bagi kegunaan dan faedah masing-masing.

Tanggungjawab tersebut meliputi penyediaan infrastruktur, logistik, dan kemudahan bagi menjalankan rawatan, penyelenggaraan, dan pemuliharaan air serta mencegah pencemaran air bermula dari Ulu Muda agar air selamat dan mampan digunakan untuk kepentingan negeri-negeri, yang bersama-sama memperoleh nikmat alam semula jadi ini.

Oleh itu, adalah penting untuk mewujudkan suatu peraturan dan perjanjian khas yang melibatkan negeri-negeri ini dan mewujudkan suatu badan khas bagi mengurus dan mentadbir Sungai Muda, Ulu Muda, serta bekalan dan perkhidmatan airnya.

Selanjutnya, kos infrastruktur, logistik dan penyelenggaraan adalah tertakluk kepada jumlah, peratusan, dan kuantiti air yang digunakan oleh setiap negeri.

Sekiranya ada peraturan dan perjanjian dibuat antara negeri-negeri ini, syarat-syaratnya hendaklah adil dan seimbang dengan kepentingan dan keadilan masing-masing kerana mereka berkongsi air dari Sungai Muda. Satu faktor dalam mencapai keseimbangan keadilan dan kepentingan adalah berdasarkan keperluan, cabaran dan dinamika semasa untuk memastikan keadilan dan keharmonian negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Di samping itu, jika peraturan dan perjanjian itu tidak adil, tidak munasabah, atau tidak sesuai, semakan harus diadakan bagi memastikan keadilan dan keseimbangan kepentingan antara negeri. Ini boleh mewujudkan perasaan hormat menghormati antara negeri-negeri dan menjaga keharmonian nasional.

Pertikaian mengenai isu air Sungai Muda ni juga boleh diselesaikan secara pentadbiran melalui perbincangan dan persetujuan dalam Majlis Air Negara (MAN). – UTUSAN

PROFESOR DR. NUARRUAL
HILAL MD. DAHLAN
Pusat Pengajian Undang-undang
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN