BUKIT MERTAJAM : Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memantau paras semasa air di Sungai Muda, Kedah susulan fenomena cuaca panas yang dikhuatiri akan menjejaskan bekalan air di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, paras air tersebut bagaimanapun masih berada pada had atau tahap yang selamat.
“Kita ambil maklum mengenai info daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengisytiharkan beberapa lokasi sebagai daerah yang paling panas termasuk di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).
“Berhubung isu bekalan air pula, paras air di Sungai Muda ketika ini masih belum melepasi had untuk diisytiharkan kritikal (tahap satu, dua dan tiga). Belum sampai ke tahap itu.
“Jadi, kita akan terus pantau supaya boleh bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi cuaca panas di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, pihaknya juga sudah menulis surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memulakan operasi pembenihan awan untuk meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam.
“Pembenihan awam memerlukan banyak kriteria untuk dipenuhi tetapi kita sudah tulis kepada SPAN untuk mulakan proses ini,” katanya.
Semalam, MetMalaysia memaklumkan bahawa terdapat empat kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu atau berjaga-jaga iaitu di Pulau Langkawi dan Pokok Sena, Kedah serta Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.
Untuk rekod, status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.-UTUSAN










