Kumpulan pop rock popular, Klangit, kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul ‘Kau Bersama Dia’.
Karya yang sarat dengan emosi ini mengangkat tema cinta tidak kesampaian, selain menyelami perasaan kehilangan, penerimaan dan keikhlasan dalam melepaskan insan tersayang.
Menurut Klangit, lagu ini bukan sekadar kisah patah hati, tetapi merupakan sebuah naratif tentang kekuatan untuk menerima hakikat bahawa tidak semua cinta ditakdirkan untuk dimiliki.
Istimewanya, ‘Kau Bersama Dia’ menampilkan gabungan vokal antara vokalis utama, Ary Klangit dan penyanyi jemputan, Dina Rijeu. Kehadiran dua perspektif suara ini memberikan dimensi naratif yang lebih mendalam terhadap penceritaan lagu tersebut.

Lebih menarik, lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang pernah dilalui oleh ahli kumpulan Klangit sendiri serta individu di sekeliling mereka.
Dari segi teknikal, lagu ini mengekalkan gaya penulisan lirik yang ringkas dan mudah difahami, manakala susunan muziknya dibina secara berlapis dengan elemen melankolik bagi menguatkan penceritaan.
Muzik video rasmi yang memfokuskan kepada ekspresi dan jalan cerita realistik telah dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 30 April lalu.
Peminat kini boleh mula mendengar ‘Kau Bersama Dia’ di semua platform penstriman digital bermula 1 Mei 2026.










