PUTRAJAYA: Program Road To Gold (RTG) terus diperkasakan dalam usaha memburu pingat emas Olimpik pertama negara apabila pemain skuasy lelaki kebangsaan, Ng Eain Yow dan atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin disenaraikan sebagai anggota baharu program itu bagi tahun ini.
Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RTG di sini, semalam, yang turut menyaksikan beberapa penilaian semula dilakukan bagi memperkukuh peluang negara merealisasikan impian bersejarah di pentas Olimpik.
Ng Eain Yow turut menerima suntikan kepercayaan apabila dinaikkan daripada program ‘Fast Track’ ke RTG susulan prestasi konsisten dan peningkatan memberangsangkan di pentas antarabangsa.
Menurut Taufiq, pemilihan atlet bagi program RTG dan Fast Track 2026 dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira kemampuan semasa, potensi kejayaan serta peluang atlet untuk mencabar di peringkat tertinggi dunia.
“Apa yang penting sebenarnya adalah fokus kita untuk pengukuhan Road To Gold itu sendiri bagi memastikan peluang untuk kita mencapai pingat emas pertama negara dapat disasarkan dengan beberapa penyesuaian yang kita laksanakan.
“Kita juga melihat potensi yang boleh dinilai secara keseluruhan, baik daripada aspek sukan mahupun keupayaan atlet itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kekal berada dalam program RTG meskipun pernah menjalani pembedahan lutut tahun lalu dan tercicir daripada kelompok lapan terbaik dunia.
Taufiq berkata, keputusan mengekalkan Shah Firdaus dibuat berdasarkan terma kontrak RTG yang mengambil kira faktor kecederaan, tempoh pemulihan dan masa diperlukan seseorang atlet untuk kembali mencapai tahap prestasi terbaik.
“Shah Firdaus telah menunjukkan perkembangan positif apabila muncul naib juara dalam Kejohanan Japan Track Cup minggu lalu dan itu menjadi antara faktor penting beliau terus dikekalkan dalam RTG,” ujarnya.
Pada masa sama, Jawatankuasa RTG turut mengenal pasti dua atlet muda berpotensi tinggi iaitu pelumba trek wanita, Nur Alissa Mohd Farid serta penerjun negara, Elvys Presley Anak Clement yang kini berada dalam radar program pembangunan elit negara.
Kedua-dua atlet berkenaan akan dipantau rapi terutama pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya sebelum dipertimbangkan untuk diserap ke dalam program Fast Track sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan.
Sementara itu, penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, dua atlet profesional badminton yang berada dalam program tahun lalu, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie tidak lagi tersenarai selepas penilaian semula dilakukan Jawatankuasa RTG.
“Bagi tahun 2026, dua atlet profesional badminton, Goh Soon Huat dan Shevon Lai tidak lagi berada dalam senarai RTG selepas penilaian semula dilakukan Jawatankuasa,” katanya. – UTUSAN










