Duduk tanah kerajaan: 17 keluarga Kampung Hiliran Jejawi mula kosongkan rumah

Duduk tanah kerajaan: 17 keluarga Kampung Hiliran Jejawi mula kosongkan rumah

PERSATUAN Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu  membantu memindahkan warga emas terlantar selepas mereka diarahkan berpindah di Kampung Hiliran Jejawi , Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 17 keluarga di Kampung Hiliran Jejawi di sini, mula mengosongkan rumah masing-masing selepas diarahkan keluar dari penempatan yang didakwa dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.

Pada 20 April lalu, penduduk menerima notis pengosongan kawasan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Mengikut Seksyen 425(1A) KTN, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Penduduk diberi tempoh 30 hari untuk mengosongkan kawasan serta merobohkan sendiri struktur binaan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selepas 19 Mei ini tanpa sebarang rayuan.

Situasi itu  memberi cabaran besar kepada sebahagian penduduk termasuk keluarga yang mempunyai pesakit terlantar dan warga emas uzur untuk dipindahkan sebelum tempoh notis tamat.

Antara yang terkesan ialah Mohamad Rosharul Helmi Dollah, 36, yang terpaksa memindahkan ibunya, Rina Hussin, 68, seorang pesakit kronik yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok, kencing manis, darah tinggi serta masalah buah pinggang selain sebelah kaki terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit.

“Terima kasih kerana sudi membantu memindahkan emak saya yang terlantar uzur. Saya berterima kasih kepada UMNO Kuala Terengganu dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu yang membantu melancarkan urusan pemindahan emak saya hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad Rosharul Helmi berkata, ibunya dipindahkan ke sebuah rumah sewa sementara yang disediakan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Losong semalam.

Katanya, proses memindahkan pesakit terlantar bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengangkutan dan bantuan khas.

“Kami akan menyewa rumah itu sementara menunggu projek perumahan flat yang dicadangkan di tapak asal rumah kami siap sepenuhnya. Dalam keadaan sekarang, ada sesetengah penduduk belum dapat berpindah bukan kerana sengaja mahu melengah-lengahkan masa, tetapi notis yang diberikan sehingga 19 Mei ini sangat sukar dipenuhi terutama bagi keluarga yang mempunyai pesakit terlantar,”katanya.

Menurutnya, isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan kerana penduduk memahami tanah yang didiami adalah milik kerajaan negeri, namun kebanyakan mereka telah menetap di situ lebih 30 tahun.

“Kami yang terjejas ini hanya mahu hak dan penempatan semula seperti dijanjikan sebelum ini. Namun sehingga sekarang, tiada sebarang pampasan atau saguhati yang diterima penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN