BANGKOK: Sekurang-kurangnya lapan orang terkorban manakala lebih 30 lagi cedera selepas sebuah kereta api barang merempuh sebuah bas di Bangkok, Thailand pada Sabtu, menurut kenyataan pihak polis.
Anggota bomba dan penyelamat segera mengepung lokasi kejadian manakala pihak penyiasat dilihat sedang memeriksa bangkai bas yang rentung terbakar.
Orang ramai turut diarah menjauhi kawasan persimpangan yang sentiasa sibuk di pusat bandar yang menjadi laluan kepada puluhan ribu kenderaan setiap hari.
“Lapan individu disahkan maut manakala 35 yang lain mengalami kecederaan,” kata Ketua Polis Bangkok, Urumporn Koondejsumrit kepada AFP, dalam kemas kini kepada jumlah mangsa yang cedera berbanding laporan awal.
Nahas dilaporkan berlaku pada awal petang. Beberapa klip video yang tular di media sosial memaparkan tren berkenaan sedang menghampiri lintasan pada kelajuan sederhana sebelum merempuh bas terbabit, menyebabkan kenderaan itu serta-merta terbakar.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kami kini sedang dalam proses mengeluarkan mayat mangsa,” tambah Urumporn. Api dilaporkan marak dengan begitu pantas dalam insiden berkenaan.
“Saya langsung tidak berani memandang ke belakang untuk melihat jika ada mangsa yang terselamat,” kata seorang saksi yang berada berhampiran persimpangan itu bersama anak perempuannya kepada stesen penyiaran awam, Thai PBS.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Siripong Angkasakulkiat, seperti yang dipetik oleh media tempatan, The Nation memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati bas milik Lembaga Pengangkutan Awam Bangkok itu ‘tersangkut’ di lampu isyarat merah ketika berada di atas landasan kereta api.
Disebabkan kedudukan bas tersebut, palang keselamatan kereta api tidak dapat diturunkan. Pada masa yang sama, kereta api yang membawa muatan kontena yang berat itu gagal membrek dan berhenti tepat pada masanya.
Susulan tragedi itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan dengan segera, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau.
Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa sering berlaku di Thailand, sebuah negara yang kerap berada di kedudukan teratas bagi indeks jalan raya paling berbahaya di dunia. Antara faktor utama yang menyumbang kepada isu ini termasuk memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah. – AGENSI/AFP










