PETALING JAYA: Dua rakan sekerja maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Jalan Sungai Besi dari pusat bandar menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.01 pagi itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun memandu sebuah kereta Honda City bersama rakan sekerja wanita berumur 23 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam melibatkan sebuah syarikat perbankan antarabangsa.
“Ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan serta menyebabkan kenderaan terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba Cheras hadir ke lokasi kejadian bagi membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu rentung terbakar manakala penumpang wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN









