Dua warga China dipenjara empat bulan tinggal lebih masa

Dua warga China dipenjara empat bulan tinggal lebih masa

KESEMUA tertuduh warga China dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini tanpa sebab munasabah.

Tertuduh, Li Gang, 62, dan Dong Huangbing, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tepi Jalan Banda Kaba, Melaka Tengah pada pukul 3.50 petang, 30 April lalu.

Li Gang didakwa tinggal di negara ini selepas pas lawatan sosialnya tamat pada 19 November 2025 iaitu selama lima bulan, manakala Dong Huangbing pula tinggal melebihi tempoh pas lawatan sosial sejak 6 Mac 2025 selama kira-kira 13 bulan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda minimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Melaka, Syauqi Mardia Baharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mona Anak Leonard Lubon.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap kedua-duanya bermula dari tarikh tangkapan.

Dalam prosiding sama, empat warga China turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri beg duit mengandungi wang tunai RM7,000 milik seorang lelaki di sebuah premis di Jonker Walk pada 25 April lalu.

Tertuduh Qing Xiaomin, 54; Yan Chaoyang, 63; Lu Yongde, 60 dan Dong Huangbing, 62, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan perbuatan itu secara bersama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara selama empat bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN