PASIR MAS: Penantian puluhan ribu penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang untuk menikmati bekalan air lebih stabil dijangka berakhir apabila projek Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 di sini, siap sepenuhnya Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, apabila siap kelak. LRA Kelar 2 itu dapat membekalkan air bersih ke seluruh Pasir Mas dengan kapasiti 25 juta liter sehari.
“Pasir Mas ketika ini masih mengalami kekurangan bekalan air sebanyak 15 juta liter sehari. Malah, masih terdapat lebihan kira-kira 10 juta liter sehari yang boleh disalurkan ke Apam Putra, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang serta Penjara Satelit,” katanya semasa Lawatan Kerja ke Tapak Projek LRA Kelar hari ini.
Izani berkata, LRA Kelar 1 yang menjadi loji utama sedia ada hanya mampu mengeluarkan 75 juta liter air sehari, sekali gus tidak dapat menampung peningkatan permintaan pengguna.
Katanya, situasi itu menyebabkan beberapa kawasan di Lubuk Jong, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampang Putra mengalami gangguan air.
Beliau berkata, LRA Kelar 2 kini sudah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 39.5 peratus dan kontraktor memberi jaminan projek ini siap pada Januari depan.
“Kita jangka air ini sampai kepada pengguna selewat-lewatnya Mac tahun depan,” katanya. – UTUSAN










