HARRISBURG: Kerajaan negeri Pennsylvania memfailkan saman terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI), Character Technologies bagi menghalang perkhidmatan bot sembang miliknya daripada menyamar sebagai doktor berlesen.
Gabenornya, Josh Shapiro pada 5 Mei menyifatkan tindakan undang-undang terhadap Character.AI itu sebagai saman pertama seumpamanya yang dikemukakan oleh seorang gabenor di Amerika Syarikat (AS).
Lapor Reuters, langkah itu menyusul selepas penubuhan pasukan petugas AI negeri pada Februari lalu yang bertujuan menghalang bot sembang daripada menyamar sebagai profesional perubatan bertauliah.
Aduan yang difailkan di Mahkamah Komanwel Pennsylvania menyatakan bot sembang di platform tersebut mendakwa mereka pengamal perubatan.
Salah satu watak AI bernama ‘Emilie’ didakwa memberitahu penyiasat yang menyamar sebagai pesakit kemurungan kononnya dia mempunyai lesen psikiatri di Pennsylvania dan United Kingdom (UK), malah turut memberikan nombor lesen palsu.
Apabila ditanya mengenai ubat, Emilie didakwa menjawab secara teknikal dia boleh mempreskripsikannya kerana ia berada di bawah bidang kuasanya sebagai seorang doktor.
Pennsylvania menuntut perintah injunksi bagi menghalang Character.AI daripada melanggar undang-undang negeri berkaitan amalan perubatan tanpa kebenaran.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Character.AI enggan mengulas lanjut mengenai saman tersebut namun menegaskan keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka.
Syarikat itu menyatakan watak ciptaan pengguna adalah bersifat fiksyen serta bertujuan untuk hiburan dan lakon peranan semata-mata.
Character.AI sebelum ini turut berdepan beberapa siri saman lain termasuk dakwaan mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan seksual dan penyalahgunaan bahan di Kentucky.
Pada Januari lalu, syarikat itu bersama Google turut menyelesaikan saman difailkan oleh seorang wanita di Florida yang mendakwa bot sembang mereka mendorong anak lelakinya berusia 14 tahun untuk membunuh diri.










