JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan tiga komponen utama dibawah inisiatif Bandar kecerdasan buatan (AI) susulan penerimaan peruntukan RM2.78 juta daripada Kementerian Digital.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, ia melibatkan penggunaan dron berteknologi AI, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pintar dan bas autonomi berkuasa elektrik.
Katanya, langkah ini signifikan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi digital serta mempercepatkan penggunaan teknologi AI dalam sektor perkhidmatan awam, selaras dengan hala tuju menjadi sebuah negara berteraskan AI menjelang tahun 2030.
“Bagi penggunaan dron berteknologi AI, ia dilengkapi dengan fungsi menyokong operasi bandar iaitu dron dengan pemasangan Automated External Defibrillator (AED) dan untuk tujuan pemantauan trafik.
“Satu lagi dron dilengkapi sistem Light Detection and Ranging (LiDAR) berfungsi dalam pemetaan tiga dimensi bandar serta pembangunan konsep ‘digital twin’, yang amat penting dalam konteks pembangunan bandar raya yang semakin pesat dan melibatkan struktur bangunan bertingkat tinggi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Mohd. Haffiz berkata, komponen kedua melibatkan pemasangan CCTV pintar berasaskan teknologi AI dan 5G yang menggunakan tenaga solar serta sistem tanpa wayar yang akan dipasang di 24 zon untuk mengesan aktiviti pembuangan sampah haram.
“Komponen ketiga pula melibatkan pelaksanaan bas autonomi berkuasa elektrik yang dilengkapi dengan teknologi 5G, sensor radar, sistem LiDAR serta AI. Bas ini telah melalui fasa ujian operasi dan menerima sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan pengunjung ke lokasi pelancongan seperti Zoo Johor,” katanya. – UTUSAN










