DPP tidak buka ruang pelarian kekal bermastautin di Malaysia - Utusan Malaysia

DPP tidak buka ruang pelarian kekal bermastautin di Malaysia

SAIFUDDIN Nasution Ismail dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tidak akan membuka ruang kepada pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk kekal bermastautin di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, golongan terbabit tetap tertakluk kepada tiga ketetapan utama iaitu dihantar pulang ke negara asal, ditempatkan di negara ketiga atau diusir sekiranya melanggar undang-undang negara

“Walaupun mereka didaftarkan di bawah DPP dan mungkin dipadankan dengan pekerjaan, ia tidak bermakna mereka akan menetap secara kekal di negara ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa pengurusan pelarian dan pemohon suaka ini hanya mempunyai tiga matlamat iaitu penghantaran pulang, penempatan ke negara ketiga atau pengusiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, pelaksanaan program DPP adalah bagi menangani pelbagai cabaran dalam pengurusan risiko keselamatan, sosial dan ekonomi susulan kehadiran migran yang diberikan status perlindungan antarabangsa di negara ini.

Katanya, kerajaan memperkenalkan program DPP melalui pelaksanaan pendaftaran serta pembangunan pangkalan data yang lebih kredibel atau dipercayai mengikut acuan negara sendiri.

“Selama ini, pendaftaran dilakukan secara unilateral oleh agensi kemanusiaan antarabangsa dan kerajaan tidak mempunyai akses penuh kepada data tersebut.

“Kita hanya dimaklumkan angka ratusan ribu tanpa mengetahui identiti atau lokasi sebenar mereka. Melalui DPP, kita mengetahui dengan tepat siapa mereka dan di mana mereka berada.

“Program DPP amat penting bagi memastikan setiap maklumat dan latar belakang individu direkodkan secara rasmi dan tersusun dalam sistem biometrik kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, program yang kini berada dalam Fasa 1 itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Proses Penentuan Status Pelarian (RSD) terhadap migran warga Myanmar etnik Rohingya yang ditahan di depot imigresen di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, jumlah keseluruhan tahanan yang telah didatakan adalah seramai 4,010 orang, merangkumi 4,008 warganegara Myanmar dan seorang masing-masing warga Sudan dan Syria.

“Kesemua individu ini akan dipindahkan secara berperingkat ke PPKPPS Bidor, Perak, yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses tersebut.

“Buat masa ini, PPKPPS menempatkan seramai 101 tahanan warga Myanmar etnik Rohingya yang terdiri daripada 100 lelaki dan seorang wanita.

“Daripada jumlah itu, seramai 78 individu iaitu 77 lelaki dan seorang wanita telah diluluskan status pelarian di bawah program DPP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN