RAUB: Tiga lelaki warga Korea Selatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menculik dan menahan secara salah seorang rakan senegara mereka sebelum didakwa menuntut wang tebusan berjumlah 10 juta mata wang kripto Tether (USDT) atau RM39.66 juta, bulan lalu.
Tertuduh, Kwon Kyungryul, 28; Kwak Jaeil, 40, dan Kim Myeong Joon, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menerusi jurubahasa Korea Selatan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melarikan dan menahan secara salah seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 40 tahun dengan tujuan mendapatkan wang tebusan berjumlah USDT10 juta. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kilometer 16 Jalan Genting Highlands, Bentong, dekat sini pada 17 April lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 374) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi membolehkan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan ketiga-tiga tertuduh ditahan tanpa sebarang tawaran jaminan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menumpaskan sindiket penculikan didalangi warga Korea Selatan selepas menyelamatkan seorang lelaki yang diculik ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur pada 17 April lalu.
Mangsa dikatakan diekori sebelum kenderaannya dihalang suspek lalu dibawa dan dikurung di sebuah rumah inap di Melaka selama empat hari.
Kumpulan penculik terbabit kemudian dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak USDT 10 juta daripada keluarga mangsa. Keluarga lelaki itu dilaporkan sudah membuat bayaran sebanyak 3 juta USDT atau kira-kira RM11.9 juta bagi memastikan mangsa dibebaskan. – UTUSAN










