IPOH: Penantian selama 18 tahun Perak untuk menjulang kembali trofi agung bola sepak tempatan, Piala Malaysia pada tahun 2018 diabadikan dalam bentuk karya fizikal menerusi pelancaran buku sukan bertajuk ‘Kejor: 120 Minit Gila Di Shah Alam’.
Karya penulisan sulung oleh Meor Abdullah Syamim, seorang pengamal media sukan tempatan dan anak jati Chemor, Perak dilancarkan dalam satu majlis eksklusif bertempat di TwentyOne.cafe, Meru di sini semalam.
Buku tersebut membawakan kronologi terperinci, sorotan emosi belakang tabir serta debaran kemuncak perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang menyaksikan skuad ‘The Bos Gaurus’ bangkit dalam aksi drama penuh kegilaan menentang Terengganu FC.
Melalui naskhah tersebut, pembaca dibawa mengimbau kembali setiap peluh, air mata, dan sorakan ribuan penyokong setia yang menggegarkan Stadium Shah Alam pada malam penuh bersejarah tersebut.
Menurut Meor Abdullah Syamim, naskah indie itu diterbitkan khusus demi memastikan legasi dan momen keramat bola sepak negeri Perak tidak ditelan zaman.
Beliau berkata, naskah tersebut sekaligus menjadi rujukan generasi penyokong akan datang.
“Projek penulisan ini juga mendapat sentuhan kerjasama erat daripada barisan bekas pemain dan komuniti sukan bagi memastikan setiap fakta yang direkodkan adalah tulen dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Pelaksanaan majlis pelancaran dan penerbitan buku ini turut dijayakan melalui jalinan kerjasama dengan beberapa entiti tempatan yang bertindak sebagai rakan strategik dan penaja rasmi,” katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di sini semalam.
Nazirul Naim Che Hashim, pemain skuad juara 2018 yang juga merupakan pemilik TwentyOne.cafe hadir sebagai tetamu khas bagi memberikan sokongan padu terhadap usaha pendokumentasian sejarah tersebut.
Buku ‘Kejor: 120 Minit Gila Di Shah Alam’ edisi pelancaran terhad boleh didapati secara terus atau walk-in di lokasi majlis dengan kombo cenderahati istimewa.
Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia 2018, selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam.
Separuh masa pertama menyaksikan TFC mendahului Perak dengan 2-0, manakala masa penuh pula menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2. – UTUSAN










