Di sebalik tembok Puspen

Di sebalik tembok Puspen

PUSPEN ditubuhkan sebagai institusi pemulihan di bawah pengurusan AADK bagi membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah kembali menjalani kehidupan normal serta bebas daripada ketagihan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Di sebalik angka statistik penagihan dadah yang sering dipaparkan, tersembunyi kisah insan yang kehilangan diri sendiri. Ada yang terjebak sejak usia remaja kerana pengaruh rakan, ada yang hanyut selepas mahu ‘membantu’ orang lain, malah ada yang diajar suami sendiri.

Akhirnya, semua berakhir pada titik yang sama. Ketagihan yang memusnahkan kehidupan, keluarga dan masa depan. Namun, sisi gelap kisah kejatuhan itu, masih ada ruang untuk peluang hidup kedua.

Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) ditubuhkan sebagai institusi pemulihan di bawah pengurusan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah kembali menjalani kehidupan normal serta bebas daripada ketagihan.

Ia diwujudkan bukan sekadar untuk merawat ketagihan dadah, sebaliknya menjadi medan kedua buat mereka yang pernah tersasar untuk membina semula kehidupan.

Melalui pendekatan pemulihan holistik yang merangkumi aspek fizikal, psikologi, sosial dan kerohanian, pusat itu berperanan membantu penghuni kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif serta bebas daripada belenggu dadah.

Para penghuni atau dipanggil klien di sini, dibimbing membina disiplin, mengukuhkan kerohanian dan memulihkan kembali hubungan dengan keluarga serta masyarakat.

Paling menyentuh hati, ramai dalam kalangan mereka akhirnya menyedari bahawa peluang kedua itu masih wujud selagi mereka mahu berubah. Ada yang mula belajar menghargai keluarga, ada yang mahu kembali bekerja dan membina hidup baharu, malah ada yang mahu menjadi contoh kepada orang lain agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Bagi Pengarah Puspen di Dengkil, Norkumala Abdul Rahman, pusat itu bukan sekadar tempat tahanan, sebaliknya ruang kedua untuk penagih dadah membina semula diri yang pernah musnah akibat ketagihan.

“Di sini, kita bukan hanya rawat ketagihan, tetapi kita pulihkan manusia,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

NORKUMALA ABDUL RAHMAN

Ditubuhkan sejak 1983, Puspen Dengkil kini mampu menempatkan 300 klien, termasuk 100 wanita dan 200 lelaki. Menariknya, wanita yang mendapatkan rawatan di situ boleh hadir secara sukarela, sama ada atas kesedaran sendiri, dorongan keluarga atau majikan.

Menurut Norkumala, pendekatan pemulihan di sini dilaksanakan secara menyeluruh menerusi modul bio-psiko-sosial dan spiritual yang menekankan aspek mental, emosi, sosial dan kerohanian.

Seawal pukul 4.30 pagi, klien memulakan rutin harian diikuti sesi ‘morning meeting’, kelas agama dan program pembangunan jati diri. Selain itu, mereka turut diberikan tugasan seperti pertanian, penjagaan kebersihan dan kerja-kerja logistik yang dianggap sebagai terapi membentuk disiplin serta keyakinan diri.

“Setiap klien akan melalui empat fasa pemulihan dan dinilai secara berkala oleh pegawai pemulihan serta pegawai agama. Sebab itu, walaupun perintah mahkamah dua tahun, kebanyakan mereka dibebaskan lebih awal antara 16 hingga 18 bulan jika menunjukkan perkembangan baik,” katanya.

Namun, katanya, kejayaan pemulihan tidak bergantung kepada pusat semata-mata, sebaliknya sokongan keluarga menjadi faktor paling penting.

“Ramai ibu bapa dan keluarga tak pernah putus datang melawat. Ada ibu yang sudah hampir 80 tahun masih memandu sendiri datang setiap minggu. Sokongan itu sangat memberi kekuatan kepada klien,” katanya.

Tambah beliau, Puspen juga membantu bekas klien membina hidup baharu termasuk mendapatkan pekerjaan dan penghijrahan ke tempat baharu bagi mengelakkan mereka kembali ke persekitaran lama yang boleh mencetuskan ketagihan semula.

“Kalau mereka benar-benar mahu berubah, kita akan bantu sampai mereka mampu berdiri sendiri semula,” katanya.

Wartawan Mingguan Malaysia turut berpeluang menemu bual beberapa klien untuk berkongsi bagaimana mereka boleh terjebak dengan najis dadah sebelum melalui tempoh pemulihan di Puspen.

‘Saya menyusukan anak ketika tangan masih bergari’

Pada usia 15 tahun, Nini (bukan nama sebenar) sepatutnya sedang menikmati alam remaja. Namun, hidupnya berubah selepas berkahwin muda dan mengikut jejak suami yang menagih dadah jenis syabu. Semuanya bermula apabila dia melihat sendiri suaminya menghisap dadah di rumah mereka di Johor.

“Dia suruh saya cuba sekali saja. Dari situ saya mula ketagih,” katanya mengimbau semula ketika dia mengambil bahan terlarang itu.

Ketagihan itu akhirnya memusnahkan kehidupan Nini sedikit demi sedikit. Hari-harinya dipenuhi kemarahan, pergaduhan dan pergantungan kepada dadah. Lima orang anak yang dilahirkan pula banyak dibesarkan oleh ibu bapanya kerana dia sendiri hanyut dalam dunia gelap itu.

NINA ketika berkongsi kisah hidupnya bersama Wartawan Mingguan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim di Puspen Dengkil.

Lebih menyedihkan, suami keduanya juga penagih dadah. Ketika sedang berpantang anak ketiga, dia diajak kembali menghisap syabu sebelum sekali lagi ditahan dan dihantar ke Puspen.

“Paling sedih bila masuk sini, anak saya masih menyusu badan. Ketika ditahan di balai polis, saya memangku sambil menyusukan anak dengan tangan bergari,” katanya sambil menahan air mata.

Namun di sebalik penyesalan itu, Nini percaya Puspen bukan pengakhiran hidupnya. Dia kini tekad mahu berubah demi anak-anak yang semakin membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.

“Saya sudah serik. Saya cuma nak balik, jaga anak-anak dan ubah hidup. Mereka adalah kekuatan saya sekarang,” katanya.

Kerjaya profesional bukan jaminan tidak terjebak dadah

Berlainan pula dengan kisah Faiz, dia bukan seorang penagih jalanan. Tidak pernah terlintas pun untuk menyentuh dadah, apatah lagi membayangkan dirinya berakhir di pusat pemulihan. Namun, rasa terlalu yakin dengan diri sendiri akhirnya memakan dirinya.

Lelaki berusia 35 tahun itu mengakui mula terjebak dengan syabu semata-mata kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang rakan yang sudah lama ketagih.

“Saya fikir saya kuat. Saya ambil sebab nak dia rasa selesa bercerita dengan saya. Saya ingat saya boleh kawal,” kata bekas profesion bidang perundangan itu.

Pada awalnya, dia hanya mengambil dadah ketika hujung minggu atau waktu rehat. Namun lama-kelamaan, syabu menjadi seperti ‘oksigen’ dalam hidupnya. Dia mula bergantung untuk bekerja, berjaga malam dan meneruskan rutin harian.

“Bangun tidur ambil dadah. Nak masuk pejabat ambil. Nak tidur pun ambil,” katanya penuh kesal.

Ketagihan itu perlahan-lahan merosakkan hidupnya. Kerjaya hancur, hubungan keluarga renggang malah dia mengasingkan diri tanpa sedar. Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, perkara paling menyedihkan bukan kehilangan kerja, tetapi kehilangan dirinya sendiri.

“Saya jadi orang lain. Cara fikir berubah. Semua keputusan yang saya buat waktu itu bukan diri saya yang sebenar,” katanya.

Selepas ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan, dia mula melihat hidup dari sudut berbeza. Di situ, dia belajar memahami punca ketagihan, memperbaiki diri dan kembali mendekati keluarga.

“Saya bersyukur sebab di sini saya mula cari balik diri saya yang hilang. Jangan sekali-kali cuba dadah walaupun kononnya mahu bantu orang lain. Akhirnya, kita boleh hilang segalanya termasuk diri sendiri,” katanya.

Kini, dia mahu membina semula kehidupan dan membuka perniagaan sendiri selepas bebas kelak. Baginya, peluang kedua itu bukan untuk disia-siakan.

Terjebak sejak di bangku sekolah

Bagi Azam, 36, dunia dadah bukan sesuatu yang asing. Segalanya bermula ketika dia di bangku sekolah menengah apabila ganja menjadi budaya biasa dalam kalangan rakan-rakan dan hampir semua kawan mengambil ganja.

Anak jati Kuala Lumpur itu mula menghisap ganja sejak tingkatan dua sebelum ketagihan tersebut berlarutan hingga ke peringkat kolej. Walaupun berjaya menamatkan diploma dalam bidang Komunikasi Massa, dan pernah bekerja dalam bidang videografi di Amerika Syarikat, hidupnya tetap dibayangi dadah.

Namun, titik paling gelap dalam hidup Azam bermula apabila dia terjebak dengan syabu ketika menguruskan sebuah dobi milik keluarga di Petaling Jaya. Pengaruh seorang pengusaha hotel butik di belakang premis dobi itu akhirnya membuka jalan kepada ketagihan lebih serius.

“Sekali cuba, memang rasa nak lagi. Syabu ni daya tarikannya sangat kuat,” katanya.

AZAM mengakui pada awalnya dia berdendam kerana dihantar ke pusat pemulihan.

Ketagihan itu perlahan-lahan merosakkan hidupnya. Berat badannya susut lebih 10 kilogram, dia hilang pekerjaan dan mula mengasingkan diri daripada masyarakat. Hari-harinya hanya terkurung di rumah, hidup dalam ketakutan dan kemurungan.

Lebih menyentuh hati apabila ibunya yang sudah berusia hampir 80 tahun terpaksa memandu sendiri setiap minggu untuk melawatnya di Puspen ini.

“Mak saya tak pernah tinggalkan saya. Walaupun saya kecewa masa mula-mula masuk sini, sekarang saya faham dia cuma nak selamatkan saya,” katanya.

Azam mengakui pada awalnya dia berdendam kerana dihantar ke pusat pemulihan, namun selepas lebih setahun berada di sini, dia mula melihat perubahan dalam dirinya.

“Saya rasa macam jadi manusia normal balik. Dulu saya hilang keyakinan diri, rasa rendah diri dan takut bergaul dengan orang,” katanya.

Kini, Azam yang menjadi pengawas di pusat pemulihan bertekad untuk tidak kembali ke dunia lama. Baginya, kehidupan tanpa dadah adalah peluang kedua yang terlalu mahal untuk disia-siakan.

“Kalau dah terjebak, jangan malu minta bantuan. Lagi lama simpan, lagi kita hilang diri sendiri,” katanya.

Hakikatnya, perjuangan melawan dadah bukan sekadar soal penguatkuasaan atau hukuman semata-mata, tetapi tentang usaha menyelamatkan manusia yang pernah tersasar daripada landasan kehidupan.

Pengakuan dalam kalangan klien ini membuktikan bahawa penagih juga manusia biasa yang pernah mempunyai impian, keluarga dan masa depan sebelum semuanya diragut ketagihan. Mereka tidak perlukan cemuhan atau stigma berpanjangan, sebaliknya peluang, sokongan dan ruang untuk bangkit semula. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN