KUALA LUMPUR: Sebanyak 593 aduan pokok tumbang diterima oleh Skuad Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setakat April lalu.
Daripada jumlah itu, laporan paling banyak diterima adalah pada April dengan 258 aduan, Mac (183), Februari (109) dan Januari (43).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, aduan pokok tumbang dan dahan sekah adalah paling banyak diterima daripada keseluruhan 732 aduan yang dicatatkan.
“Aduan-aduan lain termasuklah gangguan binatang liar, gangguan lebah dan tebuan, tumpahan minyak di jalan awam, gangguan haiwan liar, papan tanda tumbang, jalan berlubang, lubang pembetung terbuka serta halangan di laluan awam.
“Sepanjang 2025, sebanyak 2,254 aduan berjaya dikendalikan dengan kes pokok tumbang dan dahan sekah mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,781 kes.
“Peranan Skuad Kecemasan sangat penting sebagai pasukan barisan hadapan dalam mengendalikan pelbagai aduan dan insiden kecemasan di sekitar ibu kota secara pantas dan berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan warga kota,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu Pusat Operasi Bersepadu DBKL di Jalan Cheras, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Hannah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 bagi Skuad Kecemasan dan RM30,000 bagi Skuad Penyelamat DBKL.
Hannah berkata, perasmian bangunan baharu itu penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan, kecekapan operasi serta pengurusan logistik pasukan yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.
Katanya, skuad itu kini mempunyai 59 anggota serta menjalin kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan setiap insiden kecemasan dapat ditangani secara efektif.
“Pembinaan bangunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemusatan dan pemerkasaan operasi yang dilaksanakan DBKL melibatkan pemusatan kakitangan daripada Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME) bersama aset dan logistik operasi bagi memperkukuh keupayaan Skuad Kecemasan DBKL,” katanya.
Untuk rekod, Skuad Kecemasan DBKL ditubuhkan pada 1965 sebelum diperkasakan sebagai Unit Kecemasan pada 1970 di bawah
Jabatan Perkhidmatan Bandar. Skuad itu kini ditempatkan di Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL. – UTUSAN










