DBKL naik taraf sistem perparitan Kuala Lumpur

DBKL naik taraf sistem perparitan Kuala Lumpur

FADLUN MAK UJUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf sistem perparitan di kawasan rendah ibu negara bagi mengurangkan risiko banjir kilat ketika hujan lebat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kerja penambahbaikan itu menggunakan peruntukan tahun ini dengan tumpuan kepada kawasan berisiko termasuk Segambut dan Cheras.

Fadlun berkata, hujan lebat semalam menyebabkan air larian bergerak terlalu laju terutama di kawasan tepi jalan sehingga sistem parit tidak dapat menampung aliran air dalam tempoh tertentu.

“Kita ada peruntukan untuk tahun ini untuk menambah baik semua kawasan perparitan, jadi itu dalam progres untuk kita terus menambah baik termasuk kawasan Cheras,” katanya pada sidang akhbar di Taman Rekreasi Taman Segar, Cheras.

Beliau berkata, Segambut dan Cheras antara kawasan menerima hujan lebat, selain beberapa lokasi lain yang mengalami peningkatan aliran air secara mendadak.

Katanya, kawasan rendah lebih terdedah kepada banjir kilat kerana menerima tekanan air dari kawasan lebih tinggi, namun air surut selepas hujan berhenti.

“Kawasan itu biasanya menerima banjir kilat, tetapi sebaik sahaja hujan berhenti, keadaan terus surut dan sistem perparitan berfungsi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kawasan di Petaling Jaya turut terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan pada Rabu.

Antara kawasan terlibat ialah Medan Selera 223, PJS 2/3, PJS 4/21B, PJS 6, Jalan 17/21H dan Taman Buana Perdana, namun semua lokasi dilaporkan pulih selepas air surut sepenuhnya pukul 8.43 malam.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut memaklumkan beberapa insiden pokok tumbang berlaku di Jalan Barat berhampiran Wisma Daju, Jalan PJU 8/3A, Jalan Templer dan belakang sebuah restoran di Seksyen 8, selain kejadian tanah runtuh di Seksyen 20/14 akibat kegagalan cerun melibatkan struktur longkang.

Menurut Fadlun, DBKL turut menyediakan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan tekanan air di kawasan rendah ketika hujan lebat.

Bagi kawasan Segambut, beliau berkata, DBKL mengenal pasti satu tapak untuk permohonan pengambilan balik tanah bagi membina sistem takungan air setempat atau on-site detention (OSD).

“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan tekanan air daripada masuk terus ke sungai, jadi air itu disimpan dahulu dalam OSD,” katanya.

Fadlun berkata, DBKL turut memperketat penguatkuasaan terhadap tapak pembinaan termasuk penyelenggaraan kolam, silt fence dan silt trap.

“Langkah itu bagi memastikan air dari kawasan pembangunan ditampung terlebih dahulu sebelum mengalir ke sistem perparitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN