Daftar awam pesalah seks kanak-kanak dirangka - Nancy

Daftar awam pesalah seks kanak-kanak dirangka – Nancy

NANCY Shukri melancarkan buku pada Majlis Penyertaan Malaysia di Bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penubuhan daftar awam pesalah seks terhadap kanak-kanak di negara ini masih dalam proses dan sedang dibincangkan bersama kementerian serta agensi berkaitan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha mewujudkan daftar itu bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan pelbagai prosedur serta penyelarasan antara kementerian berkaitan.

Katanya, pihaknya bagaimanapun tetap komited meneruskan usaha itu bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap individu terlibat dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Sebenarnya kami sedang berusaha mewujudkan daftar individu yang terlibat dalam kes seperti ini (kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak) tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.

“Buat masa ini belum ada sesuatu yang benar-benar kukuh, bukan kerana mereka tidak menyokong tetapi lebih kepada prosedur,” katanya di sidang media Majlis Penyertaan Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di sini, hari ini.

Nancy berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

“Namun kami tetap berusaha kerana ia akan memudahkan urusan kami. Setakat ini kami masih dalam proses mengusahakannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPWKM juga sedang menambah baik Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) bagi meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak termasuk daripada ancaman dalam talian.

Katanya, pindaan itu antara usaha kerajaan menangani peningkatan kes penderaan seksual kanak-kanak terutama membabitkan platform digital.

Terdahulu, media melaporkan jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian di negara ini mencecah lebih 1.47 juta fail digital berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN