SOUTH PADRE ISLAND: Syarikat SpaceX milik hartawan, Elon Musk menangguhkan pelancaran roket gergasi Starship generasi terbaharunya selepas beberapa gangguan ketika kiraan detik di tapak pelancaran di selatan Texas.
Menurut jurucakap SpaceX, Dan Huot, syarikat itu kini menyasarkan cubaan pelancaran baharu esok.
Penangguhan itu berlaku hanya sehari selepas syarikat berkenaan mengumumkan rancangan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka mencatat rekod terbesar dalam sejarah Wall Street.
Pelancaran berjaya roket baharu berkuasa tinggi itu dilihat mampu menarik minat pelabur untuk membeli saham syarikat berkenaan.
IPO tersebut dijangka bermula seawal bulan depan di pasaran saham teknologi Nasdaq menggunakan simbol dagangan SPCX.
Melalui pegangan sahamnya dalam SpaceX, Musk yang kini individu terkaya dunia berpotensi menjadi trilionair pertama dalam sejarah.
Selepas beberapa kali kira detik dihentikan dan disambung semula, Huot berkata, jurutera tidak sempat menyelesaikan masalah teknikal pada saat akhir bagi membolehkan pelancaran diteruskan hari ini.
Musk kemudian menjelaskan di platform X bahawa pin hidraulik yang memegang lengan menara pelancaran tidak dapat ditarik balik.
Beliau berkata, jika masalah itu dapat diperbaiki pada malam ini, SpaceX akan cuba melancarkan roket berkenaan pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) esok.
Pelancaran berkenaan dijangka memperlihatkan kemajuan SpaceX dalam pembangunan roket Starship yang menjadi komponen utama kepada perancangan bercita-cita tinggi syarikat itu serta program agensi angkasa AS, NASA untuk kembali ke bulan.
Ia merupakan penerbangan Starship ke-12 tetapi yang pertama dalam tempoh tujuh bulan.
Reka bentuk terbaharu itu lebih besar daripada versi sebelumnya dengan ketinggian melebihi 124 meter apabila dipasang sepenuhnya.
SpaceX yang menyasarkan Starship sebagai sistem roket boleh guna semula sepenuhnya berkata, misi itu bertujuan menguji penambahbaikan reka bentuk ketika penerbangan.
Penggalak Super Heavy dijadualkan mendarat di laut berhampiran pantai, manakala peringkat atas roket akan melepaskan 20 satelit simulasi serta dua satelit Starlink yang diubah suai dan dilengkapi kamera bagi mengkaji pelindung haba kapal angkasa itu.
Misi ujian tersebut dijangka berlangsung kira-kira 65 minit selepas pelancaran sebelum peringkat atas roket itu mendarat di Lautan Hindi sekiranya semuanya berjalan lancar.
Beberapa misi Starship sebelum ini dianggap berjaya, namun terdapat juga ujian terdahulu yang berakhir dengan letupan besar termasuk di ruang udara Caribbean dan selepas memasuki angkasa lepas.
Pada Jun tahun lalu, peringkat atas roket itu turut meletup ketika ujian di darat.
Ujian kali ini dianggap kritikal ketika NASA menunggu pembangunan sistem pendaratan bulan yang berfungsi dengan baik.
SpaceX kini mempunyai kontrak dengan NASA untuk menghasilkan versi Starship yang diubah suai sebagai sistem pendaratan.
Program Artemis NASA menyasarkan penghantaran semula manusia ke bulan ketika China turut mempercepat program pesaingnya yang menyasarkan misi berawak pertama menjelang 2030.
Bekas pengarah Pusat Penyelidikan Ames NASA, G. Scott Hubbard, berkata banyak yang bergantung kepada ujian Starship terbaharu itu.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar ialah membuktikan keupayaan pengisian bahan api di orbit menggunakan propelan bersuhu amat rendah, yang penting untuk misi angkasa lepas jarak jauh tetapi masih belum diuji sepenuhnya.-AFP/AGENSI










