Lupa, jarang naik antara alasan tidak perbaharui LKM kenderaan mewah

Lupa, jarang naik antara alasan tidak perbaharui LKM kenderaan mewah

ZULKIFLY Ismail (dua dari kiri) menunjukkan sebuah kereta jenis Ford Mustang yang disita kerana LKM tamat tempoh ketika sidang akhbar di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Terlupa serta hanya menggunakan kenderaan mewah yang dimiliki sekali-sekala. Itu antara alasan yang diberikan oleh pemilik selepas kenderaan mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang kerana tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, baru-baru ini.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, bagaimanapun, kesemua alasan tersebut tidak boleh diterima kerana ia dilihat seolah-olah sengaja dicipta semata-mata untuk melepaskan diri.

“Dalam hal ini, JPJ tidak akan berkompromi. Naik sekali-sekala atau jarang digunakan sekali pun, peraturan tetap peraturan dan ia perlu dipatuhi demi keselamatan di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena pelaksanaan operasi penguatkuasaan khas, Ops Luxury yang bermula Jun tahun lepas di pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai operasi itu, Zulkifly berkata, bagi tempoh antara Jun sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 73 buah kenderaan mewah telah disita dengan nilai ketirisan hasil sebanyak RM88,000 direkodkan ekoran daripada kegagalan pemilik-pemilik kenderaan tersebut memperbaharui cukai jalan.

“Bagi tahun ini pula iaitu untuk tempoh antara Januari sehingga semalam, sebanyak 51 buah kenderaan mewah telah disita dengan 137 notis dikeluarkan di bawah Notis P(22) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan jumlah ketirisan hasil sebanyak RM175,236.92.

“Antara kenderaan mewah yang disita itu pula termasuk jenis BMW, Mercedes Benz, Toyota, Jaguar, Porsche, Hummer, Lexus, Mini Cooper, Range Rover dan Ford Mustang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifly memberitahu, sebuah kenderaan jenis Ford Mustang yang disita dikesan memiliki tunggakan cukai jalan paling tinggi iaitu mencecah RM10,909.50.

Pada masa yang sama katanya, sebuah BMW model 323i E90 pula dikesan sebagai kenderaan mewah paling lama memperbaharui cukai jalan iaitu sejak 5 Jun 2020.

“JPJ Pulau Pinang akan terus melaksanakan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar dalam mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, pemilik kenderaan mewah tidak terkecuali kerana mereka juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang sama seperti pemilik kenderaan lain,” katanya yang memberitahu, sebarang aduan boleh disalur melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan atau emel rasmi jabatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN