Pulau Pinang: JPJ rekod 2,724 saman sepanjang Ops Aidilfitri

Pulau Pinang: JPJ rekod 2,724 saman sepanjang Ops Aidilfitri

ZULKIFLY Ismail (dua dari kanan) ketika menghadiri program advokasi JPJ bersama PDRM dan syarikat Konsortium Pelancongan Bumiputra Sdn. Bhd. sempena Aidilfitri di Terminal Bas Sungai Nibong, George Town, Pulau Pinang, malam tadi.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 2,724 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berlangsung dari 13 Mac lalu hingga semalam.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, sepanjang tempoh operasi itu juga, sebanyak 19,900 kenderaan telah diperiksa dengan 1,492 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menurutnya, kesalahan paling tinggi dikesan ialah melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu sebanyak 576 kes diikuti oleh kesalahan tiada lesen memandu (541 kes) serta kegagalan untuk mempamerkan tanda P/L iaitu sebanyak 156 kes.

“Bagi kesalahan teknikal, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi mencatatkan sebanyak 201 kes selain beberapa kesalahan lain termasuk pengubahsuaian kenderaan serta penggunaan cermin gelap,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program advokasi JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat Konsortium Pelancongan Bumiputra Sdn. Bhd. sempena Aidilfitri di Terminal Bas Sungai Nibong di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sepanjang operasi itu juga, sebanyak 468 kes melibatkan kenderaan tanpa perlindungan insurans sah turut dikesan selain 43 kes lagi berkaitan perakuan pemeriksaan berkala yang telah tamat tempoh.

Katanya, sebanyak 13 kenderaan turut disita sepanjang operasi melibatkan sembilan motosikal, tiga motokar atau van dan sebuah kenderaan barangan.

“Secara keseluruhannya, seramai 245 anggota penguat kuasa JPJ telah digerakkan untuk melakukan pemeriksaan bas di depoh serta audit di terminal utama di Pulau Pinang seperti Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong.

“Operasi turut melibatkan rondaan di lima koridor utama serta lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan selain kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan salah laku pemandu sepanjang perjalanan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN