BUTTERWORTH : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bersedia meningkatkan operasi bagi membendung trend penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, operasi secara bersepadu serta pemantauan secara berkala itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.
“Ya, hasil operasi bersepadu yang dijalankan sebelum ini terutamanya bersama-sama dengan AADK, memang ada pemandu-pemandu yang gagal dalam ujian ini (berkaitan pengambilan dadah).
“Jadi, sepanjang 2026 ini, kita akan terus tingkatkan operasi. Bukan sahaja dengan pihak AADK, tetapi juga kastam, imigresen dan lain-lain agensi penguatkuasaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia JPJ Negeri Pulau Pinang di pejabat JPJ Seberang Jaya di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, berdasarkan rekod agensi itu, sebanyak 261 pemandu kenderaan berat dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu ketika pemeriksaan dilaksanakan secara bersepadu khususnya bersama JPJ.
Menurut beliau, kesan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu ini amat berat dan berisiko tinggi menjejaskan keselamatan jalan raya sehingga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.
Dalam pada itu, Zulkifly memberitahu, pihaknya akan mula menguatkuasakan penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota JPJ mulai tahun ini dan untuk tujuan itu, sebanyak 14 unit kamera akan dibekalkan untuk diguna terutamanya ketika operasi.
“Sebenarnya, penggunaan kamera badan ini telah bermula sejak (November) 2025 dan untuk tahun 2026 ini, kita akan gunakan sepenuhnya.
“Penggunaan kamera badan ini membuktikan bahawa pihak JPJ serius dalam melaksanakan penguatkuasaan secara telus dan berintegriti,” ujar beliau.-UTUSAN










