KUALA LUMPUR: Seorang warga Myanmar maut selepas dipukul dua rakan senegaranya susulan perselisihan faham membabitkan minuman keras di bawah jambatan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Metro Prima, Kepong, di sini, Ahad lalu.
Satu laporan polis diterima daripada orang awam pada 1.40 petang berhubung mangsa berusia 39 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, susulan laporan berkenaan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menjalankan operasi di sekitar kawasan Kepong kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Isnin lalu.
“Hasil operasi itu, kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihak polis percaya kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek terbabit hingga tercetus pergaduhan.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 19 Mei sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










